PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersetuju tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti itu atas alasan ia dibuat dengan tidak mematuhi proses perundangan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemecatan dan penggantungan keahlian tersebut juga bertentangan dengan prinsip natural justice seperti hak membela diri.
Dalam isu itu, beliau mengemukakan lima sebab mengapa tidak bersetuju dengan keputusan tersebut seperti disiarkan dalam laman Facebook beliau malam ini, iaitu:
* Tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka.
* Tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut.
* Jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi. Tuduhan perlu dibuktikan.
* Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.
* Jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke MT untuk keputusan namun poses itu tidak dilaksanakan.
“Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.
“Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka.
“Sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.
Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.
Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN