Hartal farmasi kontrak persoal prosedur serap ke jawatan tetap

Hartal farmasi kontrak persoal prosedur serap ke jawatan tetap

Walaupun berlaku kekurangan kakitangan di Bahagian Farmasi hospital kerajaan, masih ramai kakitangan kontrak belum diserapkan ke jawatan tetap. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Farmasi Kontrak mempersoalkan langkah Kementerian Kesihatan meminta mereka melalui proses permohonan dan temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan tetap, sedangkan pegawai kontrak terlibat sudah mempunyai pengalaman sewajarnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, satu sumber hartal berkata, tindakan menemu duga pegawai-pegawai farmasi yang berstatus kontrak, memberi isyarat bahawa kerajaan tidak bersedia menyerap semua kakitangan kontrak sektor farmasi ke jawatan tetap.

Sumber itu berkata, kementerian semalam telah mengeluarkan satu surat pengambilan jawatan tetap pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Namun katanya, cuma 321 pegawai farmasi lantikan kontrak bagi 2016 dan 2017 yang layak memohon jawatan tetap.

Hal ini, katanya, mendedahkan pegawai farmasi kontrak kepada pelbagai masalah dan risiko yang bukan saja menjejaskan perkembangan karier, malah juga periuk nasi masing-masing.

“Kami ingin melontarkan soalan kepada kerajaan, apakah motif mereka mahu mengadakan temu duga kepada pegawai farmasi kontrak? Sedangkan kami memang sudah ada pengalaman bekerja sebagai ahli farmasi di bawah kerajaan selama bertahun-tahun.

“Fenomena sekarang ini, pegawai di unit-unit lain perlu dipinjamkan ke unit farmasi, sebab kita tidak cukup kakitangan dan ini menjadi semakin serius dari sehari ke sehari,” katanya sewaktu dihubungi semalam.

Untuk rekod, akhbar ini telah menerima surat kementerian tersebut yang antara lain menyatakan pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak bagi tahun 2016 dan 2017 boleh memohon jawatan tetap melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mulai 30 Januari sehingga 12 Februari, 2023.

Mengulas surat itu, sumber itu berkata, pihaknya difahamkan pemohon perlu melalui proses temuduga dan membangkitkan keperluan tersebut, sedangkan kakitangan farmasi kontrak bagi 2016 dan 2017 sudah mempunyai pengalaman cukup untuk melayakkannya diserap ke jawatan tetap.

Katanya, kegagalan kerajaan menyerap ramai kakitangan farmasi kontrak akan menjejaskan operasi di hospital dan klinik kerajaan, kerana ada kejadian baru-baru ini yang berlaku apabila tiga kakitangan farmasi kontrak mengambil keputusan berhenti serentak sehingga menjejaskan unit yang sebelum itu diuruskan tujuh kakitangan.

“Contohnya, kita ada satu farmasi Total Parenteral Nutrition (TPN) yang menguruskan nutrisi untuk pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU). Yang itu, pegawai farmasi yang buat.

“Baru-baru ini, daripada tujuh kakitangan, tiga kakitangan TPN berhenti serentak. Sebabnya, ketiga-tiga mereka ini jawatannya kontrak dan langsung tidak ditawarkan ke jawatan tetap, jadi mereka berhenti pergi ke tempat lain.

“Kesannya, empat kakitangan yang tinggal itu terpaksa bertugas untuk menampung bebanan yang sepatutnya digalas tujuh pegawai farmasi,” katanya.

Susulan itu, sumber berkata, rata-rata kakitangan farmasi kontrak yang tinggal terpaksa dikerah kudrat masing-masing sehingga mengalami keletihan melampau dan jatuh sakit.

Dalam pada itu, sumber menggesa kerajaan mempertimbangkan menyerap semua kakitangan farmasi kontrak ke dalam jawatan tetap untuk menjamin pengoperasian sektor farmasi agar lancar tanpa masalah.

“Akibat langsung tidak ditawarkan ke jawatan tetap, maka kami tiada progres karier yang terjamin. Ini menjejaskan moral dan prestasi kerja. Kesannya, ramai yang terpaksa mencari peluang ke sektor swasta, ke farmasi-farmasi swasta. Selain itu, tiada jaminan dalam pekerjaan, lebih-lebih lagi setelah lima, enam tahun berkhidmat, namun kami sukar membuat pinjaman rumah dan sebagainya.

“Pada masa sama, sebagai kakitangan kontrak kami tiada peluang dihantar menyertai kursus untuk menambah ilmu dan pengalaman. Ini akan menghakis skil serta kemahiran, dan menjadi kerugian kepada kerajaan kerana ketandusan pakar dengan ilmu terkini dalam bidang farmasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN