KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Zizan Razak, 39, tidak tersinggung apabila peminat membuat pelbagai spekulasi tentang hubungannya dengan pengacara, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 28.
Menyifatkan ramai telah tersalah anggap, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia dan pengacara program Meletop itu tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa, sebaliknya hanya digandingkan dalam sebuah telemovie arahan Michael Ang.
“Tidak sangka pula ramai yang tersalah faham apabila saya muat naik gambar bersama Hawa di Instagram. Saya tidak tersinggung, cuma perlu jelaskan perkara sebenar supaya orang tidak salah faham.
“Saya juga tiada niat untuk buat gimik murahan. Saya muat naik gambar itu dengan harapan peminat dan pengikut sporting, tetapi lain pula jadinya apabila ramai ingat saya bercinta dengan Hawa.
“Malah, ramai juga yang menyangka saya sudah hendak berkahwin. Siap komen lagi, muka kami nampak seiras dan mendoakan yang baik-baik buat kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelas Zizan, tujuan dia memuat naik gambar tersebut adalah untuk memaklumkan mengenai projek pertamanya bersama Hawa yang sedang berjinak-jinak dalam dunia lakonan.
“Selama ini, peminat cuma mengenalinya sebagai pengacara. Saya muat naik gambar itu dengan harapan orang akan tanya mengenai projek lakonan kami. Tetapi, sebaliknya pula terjadi.
“Bukan tidak suka orang mendoakan yang baik-baik, cuma apa yang diperkatakan itu hanya spekulasi. Saya tidak marah kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu. Harapnya, selepas ini tiada lagi pihak yang salah faham,” katanya.
Zizan bagaimanapun, memuji usaha Hawa meneroka bidang lakonan, malah memberikan dorongan kepada bekas penyampai berita Buletin Utama itu untuk terus mencari pengalaman.
“Saya tidak kata diri sudah bagus, tetapi saya harap dia diberikan peluang untuk tunjukkan kebolehannya dalam bidang lakonan. Bagi saya, dia ada bakat dan boleh digilap lagi.
“Kalau di set penggambaran, dia rajin bertanya dan belajar dengan pelakon lain, termasuk pengarah.
“Sekurang-kurangnya, dia tidak seperti segelintir artis yang datang set buat perangai bodoh sombong. Buat macam bagus, tetapi sebenarnya tidak. Hawa berbeza kerana dia sentiasa mahu belajar,” katanya. – UTUSAN










