Guru besar tidak mohon polis pengiring 

Wang bantuan awal sekolah disamun: Guru besar tidak mohon polis pengiring 

KEADAAN cermin kereta dinaiki seorang guru besar sebuah sekolah yang dipecahkan penjenayah sebelum melarikan beg berisi wang tunai bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 di pekan Semenyih, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Guru besar sebuah sekolah di Beranang, di sini yang disamun selepas mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 tidak membuat permohonan polis pengiring bagi tujuan pengeluaran wang itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, guru besar berusia 50 tahun itu yang menjadi mangsa samun di Pekan Semenyih, memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring daripada polis.

“Berdasarkan keterangan guru besar berkenaan, dia tidak buat permohonan pengiring polis untuk transaksi pengeluaran wang berkenaan kerana sudah berpengalaman 10 tahun dalam mengendalikan situasi itu.

“Menurutnya, sepanjang tempoh 10 tahun berkenaan, tidak pernah berlaku perkara sedemikian. Perkara ini menyebabkan saya merasa ralat kerana pihak sekolah boleh meminta bantuan polis untuk mengiringi mereka selepas membuat pengeluaran wang di bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 Peringkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa individu termasuk guru besar terbabit bagi membantu siasatan.

“Kita melakukan siasatan secara menyeluruh dari pelbagai sudut termasuk bagi mengenal pasti sekiranya ada unsur-unsur kecuaian atau pembabitan ‘orang dalam’.

“Pada masa sama, kita juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengenal pasti individu yang keluar dan masuk dari bank berkenaan,” jelasnya.

Utusan Online semalam melaporkan, seorang guru besar berputih mata apabila wang tunai bagi bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, hilang dilarikan penjenayah.

Kejadian kira-kira pukul 12.17 tengah hari itu berlaku selepas guru berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan dari sebuah bank di pekan Semenyih, yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya, hari ini.

Guru itu berseorangan mengeluarkan wang tunai berjumlah kira-kira RM109,000 dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru Semenyih.

Mangsa mengeluarkan wang berkenan dan meletakkan di sebuah beg sebelum meninggalkannya di tempat duduk hadapan kenderaan dipandunya, sebelum dia ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

Difahamkan, selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, guru itu mendapati cermin kereta berkenaan dipecahkan di bahagian kanan kerusi penumpang belakang, dengan beg berisi wang tunai itu hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya