BATU PAHAT: Anak kepada ibu warga tempatan yang lahir di luar negara bersama suami warga asing akan mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik apabila pelaksanaan dasar kewarganegaraan baharu dikuatkuasakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan kini di peringkat akhir pelaksanaan dasar itu bagi memastikan proses pemberian kewarganegaraan lebih jelas, mudah dan teratur.
Katanya, di peringkat kementerian semua persediaan telah diselesaikan termasuk melibatkan perwakilan Malaysia di luar negara dan borang berkaitan sebelum pindaan berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sebelum ini anak berkenaan perlu memohon taraf kewarganegaraan namun kini dasar baharu membolehkan mereka mendapat status secara automatik sekali gus memberi kesan besar khususnya kepada ibu warga Malaysia.
“Ini akan memudahkan proses dan tidak lagi memerlukan ibu-ibu Malaysia bertarung di mahkamah untuk mendapatkan status kewarganegaraan anak mereka,” katanya pada Program Citra Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini semalam.
Pada 17 Oktober 2024 Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dengan sokongan majoriti dua pertiga.
Pindaan itu antara lain menetapkan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing layak mendapat kewarganegaraan secara automatik ini, hanya diberikan jika bapa adalah warganegara.
Langkah itu diperkenalkan bagi memperkukuh prinsip keadilan kesaksamaan dan ketelusan dalam pemberian kewarganegaraan selaras dengan realiti semasa serta aspirasi negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, dalam tempoh tiga tahun menerajui KDN, pihaknya telah menyelesaikan hampir semua isu kewarganegaraan yang tertangguh sebelum ini.
“Masa saya masuk, permohonan tertunggak yang menunggu berbelas tahun tanpa sebarang keputusan jumlahnya hampir 50,000. Tiga tahun di kementerian ini, kita tetapkan hala tuju dan sekarang hanya tinggal lebih 2,000 permohonan sahaja.
“Saya yakin perkara itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN










