JOHOR BAHRU: Kehidupan seorang warga emas penuh dengan dugaan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila berdepan dengan pelbagai liku kehidupan termasuk kehilangan isteri dan anak bongsunya.
Abd. Hameed Uthman, 82, kini tinggal bersama-sama anak perempuannya, Hathijah Beevi, 49, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, di sini dan hanya bergantung dengan bantuan serta sumbangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Abd. Hameed berkata, isterinya, Rogayah Bibi Kadir Maideen yang menderita akibat lumpuh meninggal dunia pada 2012, manakala anak lelaki yang menjadi sumber pendapatan keluarga meninggal dunia akibat penyakit hati setahun kemudian.
Dia yang dahulunya peniaga kedai makan kini hanya menghabiskan masanya di kerusi roda setelah terlibat kemalangan yang menyebabkan tulang paha kanannya patah, tiga tahun lalu.
Kehidupan dua beranak ini diuji sekali lagi apabila anak perempuannya mengalami ketumbuhan otak dan telah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 26 Disember lalu.
“Saya menghidap macam-macam penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Keadaan bertambah sukar apabila patah paha kanan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
Terdahulu, dua beranak itu dikunjungi Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan perkakasan elektrik berjumlah RM1,000.
Abd. Hameed dan anaknya kini bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM700 sebulan yang diperolehi anaknya. Dia
tidak layak mendapat bantuan daripada agensi kerajaan kerana bukan warga tempatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Hathijah menerusi akaun Public Bank bernombor 6897518224 atau menghubungi talian 016-7719116. –UTUSAN










