Dua kapal OPV perlu siap, serah tahun ini -  Saifuddin - Utusan Malaysia

Dua kapal OPV perlu siap, serah tahun ini –  Saifuddin

Kapal OPV
SAIFUDDIN Nasution Ismail (baju putih) meninjau kapal OPV1 dekat Limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pulau Indah di Klang, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Projek pembinaan dua Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1 dan 2) perlu siap dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun ini apabila diajangka siap mengikut tempoh ditetapkan masing-masing pada Mac dan Oktober.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama, namun memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.

“Tarikh serahan itu tidak diubah atau dilanjutkan pada tempoh panjang atas alasan yang tidak boleh dikompromi. Saya minta supaya tiada lagi berlaku sebarang penanggguhan dan memahami ia melibatkan projek berteknologi tinggi.

Secara jujur, saya fikir projek OPV1 masih perlu tempoh lagi selepas Mac. Ia mungkin tidak lama, tahun ini perlu ada (siap) termasuk kapal kedua pada Oktober,” katanya selepas meninjau projek pembinaan OPV1 itu di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Pulau Indah, hari ini.

Terdahulu, beliau diberikan sesi taklimat khas yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV1 milik Maritim Malaysia disiapkan tahun ini.

Projek itu kini diambil alih Kementerian Kewangan manakala Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Maritim Malaysia bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan OPV.

Jelas Saifuddin, peruntukan tambahan itu diharap membantu menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

“Komponen utama OPV1 sudah dipasang dan akan ada bot pengiring turut sampai kelak. Semuanya tersangkut kerana aspek bayaran dan suntikan baharu pinjaman diharap tidak menjadi masalah aspek itu nanti,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan bukan bermaksud menyelamatkan projek ‘sakit’ namun lebih kepada mahu mengutamakan kawalan keselamatan di sempadan negara.

“Tujuan asas kapal OPV itu adalah mengawal perairan dan ia selaras dengan fungsi Maritim Malaysia yang mempunyai keanggotaan serta aset sedia ada. Justeru, KDN memberi jaminan kawalan keselamatan negara termasuk di laut dalam keadaan terkawal,” ujarnya.

Pada Oktober tahun lalu, OPV1 sepanjang 83 meter (m) dan lebar 13.7m  itu dilancarkan ke air dengan keupayaan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil.

Kapal yang direka bentuk mengikut kapal Damen 1800 itu mampu melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya