PETALING JAYA: Sewa kediaman yang mahal dan kos sara hidup tinggi menyebabkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar terpaksa berhimpit-himpit dalam satu rumah selain ada yang bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.
Situasi itu menyebabkan ramai menyewa rumah atau apartmen dan berkongsi sehingga 20 orang, tidur berhimpit enam atau lapan orang sebilik, persis ‘tin sardin’.
Ia ditambah dengan segelintir pemilik rumah atau apartmen yang mengambil kesempatan mengenakan sewa yang tinggi antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan. Semua ini menyebabkan pelajar terpaksa ikat perut.
Selain di Lembah Kelang, keadaan yang sama turut berlaku di Pulau Pinang, Seremban dan Johor.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Exco Kebajikan dan Aduan Jawatankuasa Perwakilan Non Resident Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarah Qasrina Hoo berkata, berdasarkan tinjauan mereka sebelum ini, pemilik rumah mengenakan sewa berdasarkan bilangan pelajar yang menghuni kediaman tersebut.
Beliau memberi contoh, seramai 15 pelajar perempuan terpaksa bersesak-sesak dalam sebuah rumah kedai yang disewa dengan harga RM1,800 sebulan.
“Rumah tersebut tidak luas dan hanya ada tiga buah bilik di mana sesuai untuk diduduki dua orang sahaja dalam satu bilik.
“Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa bersesak-sesak dalam satu rumah sehingga menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan pelajar itu,” katanya, baru-baru ini.
Menurut Sarah, pelajar bagaimanapun tiada pilihan walaupun terpaksa menyewa sehingga melebihi kapasiti asalkan dapat mengurangkan kos perbelanjaan sewa rumah dan menampung kos pengajian.
Katanya, ada juga penyewa yang meletakkan harga terlalu tinggi dan tidak sesuai dengan keadaan rumah dan tidak ada sebarang fasiliti disediakan, selain rumah tidak disediakan apa-apa perabot.
Berdasarkan tinjauan yang pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini, Sarah berkata, terdapat pelajar yang menyewa rumah pada harga RM1,500 sehingga ada yang mencecah RM1,800 sebulan.
“Terdapat pemilik rumah yang mengambil kesempatan meletakkan harga tinggi, lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi tumpuan para pelajar untuk menyewa.
“Tindakan penyewa tersebut adalah tidak wajar kerana meletakkan harga tidak berbaloi dan tidak bertepatan dengan kos perbelanjaan dan pengajian bagi pelajar IPT,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar non-resident UiTM yang ingin dikenali sebagai Shaza, 23, berkata, masalah rumah sewa ini sudah lama membelenggu para pelajar terutamanya yang gagal mendapatkan kediaman kolej termasuk dirinya.
Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik dapat rumah sewa yang agak berpatutan harganya tetapi terpaksa berkongsi dengan lapan orang lagi.
“Rumah itu saya sewa RM250 sebulan, tetapi yang kurangnya kami terpaksa duduk berhimpit dengan penghuni lain. Saya tiada masalah cuma bila ramai sangat, agak tidak selesa dan sukar untuk mengekalkan kebersihan rumah.
“Kalau yang pembersih itu baguslah, tetapi ada juga dalam dua atau tiga orang yang malas jadi bila bersepah memang ketara kerana kami ramai, barang pun banyak dan penuh satu rumah,” katanya.
Syaza juga menjelaskan, privasi di rumah sewanya juga agak kurang kerana penghuninya bukan semua pelajar. Sebaliknya, ada yang sudah bekerja menyebabkan masa mereka balik dan keluar rumah juga berbeza.
“Tentang privasi itu saya faham, masing-masing ada komitmen dan kerjaya mereka tersendiri cuma agak terganggu kerana kita berkongsi bilik. Jadi ada yang balik pada lewat malam, buka lampu dan sebagainya ketika sedang tidur, itu mendatangkan ketidakselesaan kepada kami.
“Saya pun tiada pilihan dan terpaksa hadapinya, lagipun rumah ini sudah cukup murah. Nak cari rumah lain pula susah kerana kebanyakan sewanya mahal,” jelasnya.
Sehubungan itu, Syaza berharap agar pihak berkenaan dapat mengatasi masalah penempatan pelajar secepat mungkin kerana tidak semua pelajar berkemampuan.
Dia juga menggesa supaya dilakukan pemantauan sekerap yang boleh agar pemilik rumah tidak mengambil kesempatan terhadap kesusahan yang dihadapi para pelajar. – UTUSAN










