CEO antara empat didakwa buat tuntutan palsu Penjana Perkeso

CEO antara empat didakwa buat tuntutan palsu Penjana Perkeso

NOR Rizan Zakaria hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat tuntutan palsu Penjana Perkeso 2.0. UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM504,460.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, CEO NVDS Technology Sdn. Bhd., Md. Zaidi Muhammad, 45, didakwa mengemukakan dokumen palsu mengandungi nama pekerja baharu atas nama syarikat itu bagi menuntut insentif berjumlah RM343,660.

Menurut pertuduhan, butiran palsu itu terkandung dalam Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja walhal senarai nama dalam dokumen itu bukan pekerja NVDS Technology.

Tertuduh didakwa mengemukakan borang tersebut melalui seorang individu kepada seorang kakitangan Perkeso dengan niat untuk memperdayakan agensi berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 22 April 2021 di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Di mahkamah yang sama, bekas pengarah sebuah syarikat pembinaan turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan tuntutan insentif Penjana 2.0 berjumlah RM40,900.

Pertuduhan pertama, Mohamed Hazzri Mohamed Amin, 45, didakwa mengemukakan borang melalui seorang individu kepada seorang ejen Perkeso bagi menuntut insentif sebanyak RM25,900 atas nama Perusahaan Lan Trading & Construction. 

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan borang melalui individu sama kepada ejen Perkeso berlainan bagi menuntut insentif RM15,000 atas nama syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 3 Jun 2021 dan 29 Jun 2021 di Pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Menara Perkeso, Jalan Ampang di sini.

Rozina membenarkan Md. Zaidi diikat jamin RM25,000 manakala Mohamed Hazzri dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan pasport kedua-duanya ditahan serta dilarang ke luar negara selain diperintah melapor diri di Pejabat SPRM setiap awal bulan.

Tarikh sebutan bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 15 Februari ini.

Sementara itu di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohamed Hazzri yang juga bekas pengarah Percetakan Haz Sdn. Bhd. turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melibatkan tuntutan insentif  RM61,300.

Tertuduh didakwa mengemukakan borang melalui seorang lelaki untuk diserahkan kepada kepada seorang ejen Perkeso bagi menuntut insentif atas nama syarikat itu.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Mei 2021 di Wisma Perkeso, 155 Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini.

Di mahkamah yang sama, seorang pemilik syarikat, Ilham Diya Enterprise didakwa atas satu pertuduhan melibatkan tuntutan insentif sebanyak RM49,500.

Nor Rizan Zakaria, 59, didakwa mengemukakan borang melalui seorang individu kepada ejen Perkeso bagi menuntut insentif atas nama syarikat itu pada 6 Mac 2021 di Menara Perkeso.

Suzana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM16,000 bersama-sama dua syarat tambahan sama serta menetapkan kes disebut pada 7 Februari ini.

Dalam pada itu, di mahkamah berlainan, Pengurus Bmine Enterprise, Muhammad Asyraf Omar, 31

turut didakwa mengemukakan borang palsu bagi menuntut insentif RM9,100 atas nama syarikat itu dengan mengemukakan borang melalui seorang individu dan diserahkan kepada seorang ejen Perkeso.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 September 2021 di Pejabat Perkeso Putrajaya.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan kedua-dua syarat tambahan yang sama serta menetapkan kes disebut pada 22 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, A. Kalaivani dan Atiqah Alias manakala Mohd. Zaidi diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli dan Nor Rizan oleh Hasmah Nordin.  Mohamed Hazzri tidak diwakili peguam.

Azalea memohon jaminan terhadap Md. Zaidi di antara RM15,000 dan RM20,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak yang masih bersekolah, ibu yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta membantu balu pekerjanya yang mempunyai tiga anak.

Mohamed Hazzri yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia kini bekerja di ladang rakannya dan perlu menanggung isteri serta empat anak dengan seorang daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, Hasmah yang mewakili Nor Rizan memohon jaminan rendah kerana anak guamnya  mengusahakan kantin sekolah serta perlu menyara bapa mentuanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya