Bot tempatan dikendalikan nelayan warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Bot tempatan dikendalikan nelayan warga asing ditahan

SERAMAI empat warga asing ditahan Maritim Malaysia selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa lesen sah selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dalam operasi di perairan Pulau Pinang, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana dikendalikan kru nelayan warga asing tanpa dokumen yang sah semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam rondaan kira-kira pukul 4.51 petang.

Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 24 kilometer barat daya Pulau Kendi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur  antara 27 hingga 55 tahun.

“Dua daripada kru warga Myanmar didapati gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya