Bomba fokus siasatan unsur perbuatan membakar, sisa bara api Jakel - Utusan Malaysia

Bomba fokus siasatan unsur perbuatan membakar, sisa bara api Jakel

Bomba Jakel
ANJING pengesan daripada Unit K9 JBPM Selangor digunakan untuk membantu siasatan kemusnahan Wisma Jakel yang mengalami kebakaran kali kedua melibatkan stor simpanan langsir, dekat Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Unsur perbuatan membakar dan sisa bara api antara fokus utama siasatan bomba mengenai kes kebakaran kedua melibatkan Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira 12.40 tengah malam tadi itu memusnahkan dua lagi premis termasuk sebuah bilik simpanan kain langsir.

Siasatan terperinci melibatkan kemusnahan keseluruhan 16 premis syarikat tekstil itu akan mengambil masa selama 14 hari sebelum bomba membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kebakaran gedung pakaian terkemuka itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam berkata, tempoh itu turut meliputi keputusan analisa makmal menerusi hasil pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian.

“Siasatan akan menumpukan sama ada wujud perbuatan membakar atau kesan bara api kecil yang masih tersisa pada fabrik atau pakaian. Bomba memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisis termasuk mendapatkan saksi-saksi kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Malah, beliau turut melarang orang awam daripada menceroboh kawasan kebakaran termasuk bangunan lot kedai lima dan tiga tingkat kecuali pihak berkuasa dibenarkan.

“Bomba akan menjalankan kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik daripada premis yang terbakar. Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan,” tegasnya.

Jelas beliau, bomba kini membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kebakaran bangunan tiga tingkat di Wisma Jakel itu mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan hampir RM100 juta. 

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan itu antara pukul 7 hingga 7.15 pagi. 

Bangunan ikonik itu melibatkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat serta api dipercayai bermula di tingkat satu iaitu bahagian pakaian lelaki. 

Semalam, Mohamed Faroz turut menyangkal dakwaan kebakaran itu sebagai tindakan membuat tuntutan insurans yang disifatkan tidak masuk akal kerana Jakel Shah Alam adalah kedua termaju selepas Jakel Mall Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya