Anwar mungkin rasmi pecah tanah Quranic Village

Anwar mungkin rasmi pecah tanah Quranic Village

AHMAD Maslan (tiga kanan) pada Majlis Prapelancaran Restu Global Quranic Arts Festival di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah tiga tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, Quranic Village atau Perkampungan Al-Quran kemungkinan besar akan diteruskan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, malah memberi bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan merasmikan majlis pecah tanah projek yang terletak di Presint 14, di sini.

“Kita berharap mungkin beliau akan boleh hadir pada acara pecah tanah projek ini jika dipersetujui semua pihak yang terlibat terutamanya Perbadanan Putrajaya (PPj),” katanya sebelum merasmikan prapelancaran Festival Seni Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Pembangunan Quranic Village merupakan projek ketiga oleh Yayasan Restu selepas Nasyrul Quran dan Kompleks Taman Seni Islam Antarabangsa di Shah Alam, Selangor melibatkan kawasan berkeluasan hampir 10 hektar dengan kos anggaran RM150 juta termasuk pembinaan Masjid Az Zikir berkonsep Nusantara dan berkapasiti 3,000 jemaah.

Projek berkenaan sepatutnya bermula pada 2021 lalu, namun ditunda selepas dibantah keras banyak pihak termasuk oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pembinaan Quranic Village bukan sekadar kemegahan dari segi penampilan fizikal tetapi yang penting ialah konsep pembinaan tamadun Islam.

“Kita mahu umat Islam ada kekuatan bagi membina tamadun berasaskan acuan Islam dan diserapkan nilai seni Nusantara untuk menunjukkan akar jati diri kita sendiri,” katanya.

Beliau pada masa sama mengimbau jasa besar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila bukan sahaja memecah tanah kompleks Nasyrul Quran pada 2015, malah, pemimpin tersebut memasukkan cadangan pembinaan pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia itu dalam sesi pembentangan Bajet 2015 pada akhir 2014 lalu.

Sedangkan ujarnya, perkara itu langsung tiada dalam senarai inti bajet berkenaan tetapi beliau menyelitkan setelah mendapat pandangan Ahmad dan idea Yayasan Restu sendiri.

Kompleks Nasyrul Quran seluas 2.2 hektar dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 2017 dengan kos RM60 juta diperuntukkan kerajaan berupaya mencetak sehingga sejuta naskhah al-Quran setiap tahun tahun dengan 70 peratus daripadanya diedarkan kepada negara-negara minoriti umat Islam seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya