UEC wujudkan dwi standard kemasukan pelajar ke IPTA - Muhyiddin - Utusan Malaysia

UEC wujudkan dwi standard kemasukan pelajar ke IPTA – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada mana-mana badan kerajaan setakat ini yang membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan serta pemarkahan bagi Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan itu akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melibatkan dua saluran dengan standard berbeza.

Beliau berkata, pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke program ijazah di IPTA sebelum ini hanya terhad kepada beberapa bidang pengajian berkaitan Bahasa Cina dengan syarat calon memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke semua program ijazah di IPTA akan memberi implikasi besar terhadap sistem pendidikan negara.

“Pelajar warganegara Malaysia sebelum ini secara umumnya layak dipertimbangkan kemasukan ke program ijazah di IPTA melalui saluran Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi yang sukatan pelajarannya ditadbir oleh badan kerajaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan universiti awam.

“Dengan pengiktirafan sijil UEC, terdapat satu lagi saluran kemasukan ke IPTA yang sukatan pelajaran dan peperiksaannya ditadbir sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan yang piawaiannya tidak dikawal oleh mana-mana badan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi membincangkan cadangan pengiktirafan UEC.

Katanya, kajian Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu mendapati sukatan pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Justeru, saya mencadangkan kepada Dong Zong supaya KPM menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan pelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil itu.

“Namun cadangan itu tidak dipersetujui dan kerajaan ketika itu memutuskan untuk tidak mengiktiraf UEC,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan Kerajaan Madani mengiktiraf UEC dibuat secara tergesa-gesa dan didakwa mungkin mempunyai tujuan politik bagi memastikan sokongan berterusan parti DAP dalam kerajaan campuran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN