NAPLES: Pelumba Itali, Davide Ballerini menjuarai peringkat keenam saingan Giro d’Italia selepas satu insiden kemalangan di laluan berbatu menyaksikan beberapa pakar pecut tersungkur berhampiran garisan penamat di Naples, semalam.
Pelumba pasukan XDS Astana Team itu selesa mengenepikan cabaran pelumba Belgium, Jasper Stuyven (Soudal Quick-Step) di garisan penamat selepas mengharungi tunggangan di laluan landai sejauh 142 kilometer (km) dari Paestum.
Hujan renyai menjadikan permukaan jalan licin dan menyebabkan kemalangan di kilometer terakhir telah menjatuhkan Jonathan Milan (Lidl-Trek), Dylan Groenewegen (Unibet Rose Rockets) serta beberapa pelumba lain.
Ballerini dan Stuyven bernasib baik dapat mengelak kekacauan dan memecut ke garisan penamat. Pelumba Perancis, Paul Magnier pula menduduki tempat ketiga.
“Saya memang memasang niat untuk memenangi satu peringkat dalam saingan Giro tetapi hari ini sebenarnya tidak ada dalam perancangan.
“Tetapi apabila kemalangan itu berlaku, saya nampak ruang dan saya terus memanfaatkannya,” katanya.
Persaingan sengit akan bersambung pada Jumaat dengan pelumba Portugal, Afonso Eulálio (Bahrain Victorious) masih kebal menyarung jersi merah jambu.
Eulálio kini memiliki kelebihan dua minit 51 saat di hadapan pelumba Sepanyol, Igor Arrieta (UAE Team Emirates XRG) selepas kedua-dua mereka menamatkan perlumbaan dengan selamat di dalam kelompok utama.
Peringkat ketujuh yang bermula dari Formia antara ujian paling perit dalam saingan Giro tahun ini dengan laluan sejauh 244km yang bakal diakhiri dengan pendakian berliku sejauh 13.6km ke gunung Blockhaus di pergunungan Apennines.
Perlumbaan hari Jumaat dijangka menyaksikan asakan besar pertama daripada pelumba pilihan utama, Jonas Vingegaard, yang kini sekadar menghuni kedudukan ke-15 keseluruhan, enam minit di belakang pendahulu kejutan, Eulalio. – AGENSI







