ALI yang di tengah-tengah - Utusan Malaysia

ALI yang di tengah-tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Edisi ketiga Anugerah Lagu Indie (ALI) meneruskan fungsinya sebagai platform yang mengangkat karya pemuzik independen tempatan.

Kita perlu akui, tidak akan ada satu pun anugerah yang mampu mengangkat semua segmen muzik di negara ini, termasuk segmen dalam lapangan muzik independen.

Apa yang dilakukan ALI selama tiga tahun ini sudah cukup baik. Para pengkarya diberi platform bertanding, sekali gus menjadi ruang untuk mempromosi karya mereka.

Pada tahun ketiga penganjurannya, sepatutnya ALI sudah mendapat perhatian yang besar dalam industri muzik negara.

Dengan kekuatan karya yang dipertandingkan, ALI ada potensi untuk menjadi alternatif kepada anugerah muzik lain, terutamanya Anugerah Juara Lagu.

Namun, sambutan terhadap ALI nampak tidak berganjak. Ada peningkatan pada jumlah karya yang dihantar, tetapi impak terhadap industri belum dapat dilihat.

Penganjuran ALI masih tidak mendapat perhatian media massa. Ia tidak menjadi bahan bual penggerak industri seperti penganjuran kali pertama pada 2020.

Ada banyak faktor boleh dibahaskan, baik dalaman mahupun luaran, tetapi pasukan penganjur ALI perlu buat sesuatu.

Jika berterusan begini, ALI akan kekal pada tahap sekarang atau lebih buruk lagi, taringnya semakin tumpul.

MESRA MEDIA

Salah satu usaha yang boleh dibuat ialah menjadikan ALI lebih mesra media. Hal ini ada saya bincangkan bersama salah seorang peserta pada malam pentas akhir.

Liputan media massa, walaupun mereka akan canggung dengan budaya independen atau genre lagu yang bertanding, boleh membantu ALI memberi impak yang lebih besar kepada industri. Lebih penting lagi, ia membantu mempromosi peserta yang bertanding.

Platform ALI ada potensi promosi yang besar. Sekurang-kurangnya dapat buat penggerak dan peminat muzik negara sedar kewujudan peserta-peserta ini.

Malam pentas akhir pada 7 Januari lalu tidak mesra media. Saya yang hadir akhirnya pulang dengan tangan yang hampir kosong.

Tidak ada kenyataan media, tidak ada sidang akhbar. Kehadiran saya semata-mata untuk teman jurugambar sebab untuk mengulas, saya tetap perlu pulang dan tonton semula di YouTube.

Sistem bunyi di tempat acara tidak memberikan pengalaman terbaik kerana keutamaan acara adalah untuk tontonan di YouTube.

Hasrat saya untuk sekurang-kurangnya mendengar ulasan juri tidak kesampaian.

CORAK JELAS

Mengapa saya fikir ALI perlukan perhatian media massa dan penggerak industri? Selepas tiga penganjuran, kita sudah boleh baca corak penjuriannya.

Sembilan pemenang dalam tiga edisi ALI ada persamaan: mereka tergolong dalam terma payung pop dan mesra telinga pendengar massa.

Sangat rugi jika pemenangpemenang dalam tiga edisi ALI ini tidak dapat menembus pasaran massa.

Namun, jika ALI tidak dapat perhatian industri, mereka perlu bermula dari bawah semula. Peluang yang ada segera tersia.

ULASAN PEMENANG

Kejayaan Late Night Frequency dan Ichu merangkul gelaran juara agak mengejutkan, lebih-lebih lagi selepas mereka menewaskan dua lagu terbaik peringkat separuh akhir.

Namun, jika dinilai pada karya Late Night Frequency, Sinaran ialah produk terbaik mereka. Lagu ini mempamerkan kekuatan mereka, iaitu menghibur.

Masalah utama Late Night Frequency adalah pada persembahan vokal utama. Dalam banyak keadaan, kekurangan itu ditutup dengan persembahan instrumen dan gimik yang cemerlang.

Cuma, untuk pentas akhir dan separuh akhir, kelemahan itu kedengaran jelas. Kejayaan Elly Yusni meraih tempat kedua melalui Tidak Sempat Merasa Indah juga mengejutkan.

Percubaan pertama vokalis Langkasuka ini tampil solo membuahkan hasil.

Gandingannya bersama Eli Nyson menghasilkan naskhah pop yang dinamik dan mengasyikkan, walaupun ia bukan alternatif yang baik untuk produk sedia ada dalam pasaran arus perdana.

Pemenang tempat ketiga, Reza Salleh dan Yonlynn pula tampil magikal dengan persembahan yang minimal melalui Years And Days.

Pengalaman mengajar Reza erti cukup dan ia jelas dalam persembahannya pada malam itu. Sayangnya, ALI tidak ada kategori persembahan terbaik.

Jika ada, mungkin usaha gubahan yang baik dari Dewataraya, Heidi Moru dan A. Limin boleh mendapat pengiktirafan. Dewataraya, terutamanya berjaya menjadikan Tenang Damai sebuah karya yang epik melalui gubahan mereka.

Mereka berjaya menyeimbangkan bunyi instrumen yang pelbagai.

Satu lagi persembahan yang layak diangkat ialah Purbawara. Walaupun tiada perubahan besar pada susunan, persembahan teatrikal mereka berkesan.

TERSEKAT DALAM PERANGKAP

Pentas Akhir ALI 2022 menampilkan genre yang lebih pelbagai dan ia patut dipuji. Namun, corak penjuriannya tidak banyak berubah.

Saya melihat ia sebagai pilihan kurasi ALI dan ia patut dihormati. Cuma, kebimbangan saya, ALI akan terperangkap antara pop dengan alternatif.

Walau bagaimana kita cuba menafikan, ada jurang budaya yang lebar antara lapangan muzik arus perdana dengan independen tempatan.

Ia sekali gus mewujudkan dikotomi yang kita tidak minta, tetapi ia tetap ada. Jika kurasi ALI lebih melunjur ke arah pop, pergi ke arah pop sepenuhnya.

Jika mahu alternatif, alternatif sehabisnya.

Meminjam tajuk lagu Megat Fazly, kita tidak mahu ALI tersekat dalam perangkap “di tengah-tengah”.

Nak kata pop pun tak, alternatif pun tak. Akhirnya ia lebih menolak berbanding menarik.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.