Zaliha teruja jadi wanita pertama terajui Kementerian Kesihatan  

Zaliha teruja jadi wanita pertama terajui Kementerian Kesihatan  

ZALIHA Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah 67 tahun ditubuhkan, Kementerian Kesihatan hari ini melakar sejarah apabila buat julung kalinya menerima menteri dalam kalangan wanita bagi menerajui portfolio itu.

Malah, kehadiran Dr. Zaliha Mustafa untuk melaporkan diri pada hari pertama bertugas di lobi kementerian itu di Blok E7, Kompleks F, Presint 1 di sini turut diraikan dengan agak meriah.

“Perasaan saya tentulah berasa amat gembira sebab jadi wanita pertama dilantik memimpin kementerian ini dan cukup teruja,” katanya spontan di pejabat beliau ketika ditanya pemberita selepas tiba di kementerian disambut Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Kemudian, Ahli Parlimen Sekijang dari Johor berusia 58 tahun itu bersalaman sambil beramah mesra dengan kepimpinan atasan kementerian sebelum mengetik kad perakam masa di lobi.

Seterusnya doa dibacakan sebelum beliau menaiki lif ke tingkat 13 menuju ke pejabat menteri bagi mengadakan sidang akhbar ringkas dan kemudian mengikuti taklimat di kementerian itu.

Zaliha merupakan menteri yang ke-23 menerajui kementerian tersebut setelah mula dibentuk penjajah Inggeris pada 1955 lalu, awal dua tahun menjelang negara mencapai kemerdekaan.

Menteri Kesihatan yang pertama ialah Ahli Parlimen Ipoh, Perak, Tun Leong Yew Koh yang mewakili Perikatan dari Parti MCA ketika era Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra.

Jawatan itu dipegang oleh penyandang blok berkenaan yang kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) sehingga Pakatan Harapan (PH) menawan kerajaan persekutuan pada 2018.

Bagaimanapun portfolio itu kembali dipegang oleh dua wakil BN iaitu Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Khairy Jamaluddin sebelum Zaliha pula memimpin kementerian tersebut.

Mengulas lanjut, beliau yang pernah menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu melahirkan keyakinan akan dapat membantu negara terutama isu kesihatan awam.

“Saya akan memanfaatkan pengalaman ketika di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama 22 bulan sebelum ini yang dekat dengan bidang kesihatan,” jelasnya.

Meskipun baru hari pertama berkhidmat, beliau dalam nada mesra berkata, ramai doktor wanita di seluruh negara sudah menghubunginya mengutarakan pelbagai idea untuk kementerian.

Sambil menyifatkan tugasan kali ini begitu mencabar, Zaliha yang pernah menjadi doktor hospital kerajaan sebelum memiliki klinik sendiri di Kulai, Johor itu tetap optimis dan bersemangat.

Untuk rekod, Zaliha yang merupakan graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1989, aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Jamaah Islah Malaysia dan Mercy Malaysia.

Beliau yang sudah berkahwin dan memiliki empat anak itu juga berpengalaman bertugas di Kumpulan Perubatan Penawar selepas menjadi pegawai perubatan di beberapa hospital awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.