Wujud ‘task force' kaji gaji jurutera Malaysia

Wujud ‘task force’ kaji gaji jurutera Malaysia

ALEXANDER Nanta Linggi ketika merasmikan secara maya sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HTPN) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) akan mewujudkan satu ‘task force’ bagi mengkaji gaji permulaan para jurutera di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kajian perlu dilakukan berikutan isu gaii permulaan profesion teknikal dalam negara ini dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan negara-negara di luar.

Kata beliau, isu gaji juga mungkin menjadi faktor utama kurangnya minat golongan muda untuk menceburi bidang tersebut.

“Berdasarkan maklumat dari BEM, nisbah jurutera kepada penduduk negara ini hanya 1:170 sahaja berbanding dengan negara maju yang lain.

“Justeru, saya berharap agar usaha proaktif dan agresif perlu dilaksanakan dengan melantik lebih banyak golongan profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan secara maya sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HTPN) 2022, di sini hari ini.

Sambutan HPTN 2022 anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) berlangsung di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kuala Lumpur dengan bertemakan ‘Mengungguli Teknologi Melonjak Pembangunan’.

Sempena sambutan HPTN 2022 itu, Alexander berharap ia mampu mencapai matlamatnya dan memberi impak positif dalam mewujudkan minat dan kecenderungan untuk menceburi profesion teknikal.

“Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melibatkan kalangan profesion teknikal di dalam tadbir urus syarikat seperti Ahli Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pula berkata, matlamat sambutan tersebut adalah sebagai simbolik penghargaan atas jasa bakti dan sumbangan profesion teknikal kepada kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara.

Kata beliau, sambutan tersebut juga adalah menjadi platform bagi menyuarakan pandangan dan idea yang bernas berkaitan dengan teknikal.

“Sambutan HPTN juga dijadikan sebagai wadah ilmu untuk memberi pendedahan mengenai keunikan dan kelebihan menceburi profesion teknikal, di samping memupuk minat dan kecintaan generasi muda dalam bidang ini,” katanya.

Kata beliau, tema pada kali ini adalah selaras dengan misi menjadikan negara ini berteknologi dan membangun secara mapan bagi menghadapi dunia penuh cabaran dalam era Revolusi Industri 4.0.

Beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun ini merupakan ulang tahun ke-150 usia penubuhan JKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN