Waspada gelombang baharu Covid-19 selepas Tahun Baharu Cina

Waspada gelombang baharu Covid-19 selepas Tahun Baharu Cina

GAMBAR yang dirakam di Stesen Kereta Api Hankou, Wuhan, China menunjukkan rakyat China terus memakai pelitup muka ekoran pandemik Covid-19 yang masih melanda negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu.

Presiden Presiden Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada tahun 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

“Kita perlu lakukan pemerhatian rapat dan sentiasa mengambil maklum mengenai kewujudan varian baharu di China kerana kita perlu tahu tahap bahaya dan risiko yang sedang kita hadapi.

“Langkah terbaik adalah Malaysia perlu menjadi sangat berhati-hati menjaga sempadan negara terutama apabila melibatkan kemasukan pelancong dari China. Ia adalah kerja yang sukar dan kita perlu tahu varian ini mampu untuk merebak dengan pantas.

“Antara cara yang terbaik untuk mengawal adalah dengan terus memberikan pendidikan dan sebar kesedaran kepada rakyat untuk terus memakai pelitup muka, cuci tangan serta ambil dos penggalak jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi.

Akhbar-akhbar semalam melaporkan selepas tiga tahun disekat ke luar negara, penduduk China kini diberi kebebasan untuk melancong ke destinasi impian masing-masing.

Biarpun kadar jangkitan Covid-19 di China ketika ini meningkat mendadak, situasi itu tidak menghalang rakyatnya menempah tiket penerbangan untuk bercuti ke luar negara, terutamanya menjelang musim sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifah Ezat Wan Puteh berkata, Malaysia dalam risiko gelombang Covid-19 yang seterusnya jika tidak ada langkah berhati-hati daripada pihak kerajaan.

“Tidak dinafikan sekitar Tahun Baru Cina atau paling awal selepas tahun baru nanti, kita berkemungkinan akan melihat peningkatan kes Covid-19 kerana kemasukan pelancong dari China. Mereka memang suka melancong ke sini.

“Setakat ini, saya belum nampak hal ini dipandang serius oleh pihak berwajib sedangkan ia berpotensi menyebabkan lambakan kes baharu dalam negara. Kita memahami keperluan ekonomi namun ada golongan berisiko dalam negara.

“Kemasukan mereka di sempadan jika boleh, perlu dikawal sebaiknya. Jika ada yang positif, mereka perlu menjalani kuarantin,” katanya.

Setakat ini, Malaysia telah merekodkan sebanyak 5,024,422 kes penularan Covid-19 sejak pesakit pertama disahkan positif pada 4 Februari 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN