UMNO, sekutu perlu kerjasama dapatkan kembali undi Melayu

UMNO, sekutu perlu kerjasama dapatkan kembali undi Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dan sekutunya perlu bekerjasama untuk mendapatkan kembali undi orang Melayu susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Seorang pembaca dikenali sebagai Ibrahim M Ahmad dalam tulisan suratnya yang disiarkan portal Free Malaysia Today (FMT) berkata, perubahan drastik perlu dilakukan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memenangi hati pengundi.

Katanya, UMNO yang mempunyai lebih tiga juta ahli perlu memainkan peranan utama dalam misi memulihkan sokongan Melayu yang sudah hilang.

“Bagi memastikan kejayaan pakatan, parti komponen UMNO dan PH iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) perlu mengetepikan segala prasangka.

“Paling mustahak, UMNO mesti berhenti berpura-pura sebagai parti gemilang yang membawa Malaysia mencapai kemerdekaan,” katanya dalam surat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim berkata, UMNO perlu merombak sepenuhnya parti itu yang didakwa tercemar termasuk Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kalangan kluster mahkamah.

Katanya, parti itu memiliki ramai pemimpin lain yang berkelayakan antaranya bekas menteri kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi diletakkan di barisan hadapan di samping bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Calon lain yang layak ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Datuk Seri Azalina Othman Said; Naib Ketua Pemuda,  Shahril Sufian Hamdan dan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

“Sudah sampai masanya personaliti dan pemimpin berbakat di peringkat bahagian mengetepikan perbezaan mereka dan bekerjasama demi parti serta negara,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Anwar harus sedar hanya UMNO yang mampu mendapatkan semula undi orang Melayu yang hilang buat gabungan berkenaan.

Oleh itu, katanya, Perdana Menteri perlu memberi ruang untuk UMNO  lebih menonjol dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan supaya wakil parti berkenaan dapat membuktikan keupayaan di samping menawarkan penyelesaian untuk memenangi semula keyakinan rakyat.

“Usaha membina semula negara melibatkan memenangi semula undi Melayu. Itu adalah tugas yang hanya boleh dilaksanakan UMNO. Oleh itu, UMNO dan sekutunya perlu bekerja keras untuk memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan di samping membina semula keyakinan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN