KUWAIT CITY: Sektor minyak Kuwait kembali diserang dalam gelombang baharu serangan dron sehingga semalam, yang mencetuskan kebakaran di beberapa kemudahan operasi termasuk unit penapisan dan loji petrokimia.
Serangan berlaku hanya beberapa jam selepas ibu pejabat tenaga negara berkenaan turut terbakar akibat dron tanpa pemandu.
Kuwait Petroleum Corporation (KPC) dalam kenyataan memaklumkan, serangan terbaharu yang menyasarkan kemudahan Industri Petroleum dan Petrokimia Kebangsaan Kuwait mengakibatkan kerosakan besar.
Menurut KPC, pasukan kecemasan dan bomba kini giat mengawal kebakaran yang berlaku di beberapa lokasi terjejas.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Kejadian itu susulan serangan terhadap ibu pejabat KPC yang terletak di kawasan Shuwaikh, di ibu negara Kuwait, yang turut menempatkan kementerian minyak.
Kebakaran susulan serangan tersebut bagaimanapun berjaya dipadamkan.
Serangan ke atas bangunan KPC itu berlaku selepas beberapa lagi serangan udara dilancarkan ke atas kilang penapisan Mina Al-Ahmadi dan Mina Abdullah, selain serangan berulang kali yang menyasarkan lapangan terbang antarabangsa Kuwait.
KPC memaklumkan, penilaian terhadap kerosakan sedang dijalankan, selain semua langkah perlu telah diambil bagi memastikan keselamatan kakitangan serta mengukuhkan kawalan keselamatan di ibu pejabat minyak itu.
Beberapa jam sebelum serangan ke atas ibu pejabat KPC, agensi berita separa rasmi Iran, Fars, melaporkan senarai sasaran terkini yang merangkumi infrastruktur elektrik, air dan stim, selain aset minyak, gas asli dan kimia yang sebelum ini diserang.
Senarai itu, yang turut memasukkan pengeluar baja dan polimer Kuwait, PIC, diumumkan selepas serangan Tentera Udara Israel ke atas kompleks petrokimia Mahshahr di Iran pada hari yang sama.
Kuwait dan beberapa negara lain di sekitar Teluk berulang kali menjadi sasaran serangan Iran sejak perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap republik Islam itu bermula pada akhir Februari.
Sebuah loji petrokimia besar di Ruwais, Emiriah Arab Bersatu (UAE), terpaksa dihentikan operasi selepas satu serangan mencetuskan beberapa kebakaran, menurut pejabat media kerajaan Abu Dhabi pada Ahad.
Zon perindustrian Ruwais yang luas di wilayah Al Dhafra sebelum ini turut diserang pada Mac, menyebabkan satu-satunya kilang penapisan minyak milik Abu Dhabi terpaksa ditutup.- BLOOMBERG










