Ubah suai silibus, pendekkan cuti sekolah

Ubah suai silibus, pendekkan cuti sekolah

Kerajaan disaran mengubah suai silibus dan memendekkan cuti sekolah secara berperingkat sekiranya mahu mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh masa singkat untuk menghabiskan sukatan pelajaran bukan masalah utama yang perlu diberi tumpuan sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia mahu mengembalikan sesi persekolahan ke awal tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, silibus pembelajaran boleh diubah suai kerana pihak kementerian membina silibus bersifat ansur maju.

Beliau berkata, kaedah itu bermakna sukatan pelajaran terbahagi kepada beberapa peringkat prestasi murid yang perlu dicapai dalam sesi pengajaran dan pembe­lajaran.

Sehubungan itu, katanya, kebanyakan guru sudah memahami perkara itu sekali gus tidak menjadi isu utama jika sesi persekolahan perlu dipendekkan.

“Silibus pelajaran dibi­na bersifat ansur maju (pe­ningkatan berperingkat) yang terbahagi kepada beberapa peringkat yang perlu dicapai dalam kalangan murid.

“Contohnya, ada tiga pe­ringkat tahap yang perlu dicapai, tetapi kalau memadai peringkat pertama pun tidak menjadi masalah.

Dalam subjek matematik bagi murid darjah satu, tahap pertama mungkin paling kurang (murid) boleh menguasai sehingga angka 100 berbanding angka 1000.

“Jadi, (fokus untuk menghabiskan silibus) dari sekolah rendah sehingga tingkatan tiga tidak menjadi isu, tetapi tingkatan empat dan lima barang kali ada sedikit masalah kerana ada tekanan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Namun, guru-guru boleh mengajar berfokus dan ini dapat dilakukan sekiranya mereka berpengalaman. Dalam masa sama , guru yang tidak berpengalaman mungkin sukar, tetapi perlu perbanyakkan program dan bengkel pemantapan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan, kerajaan diminta mengembalikan semula tarikh kemasukan penggal baharu persekolahan kepada Januari berbanding Mac sekarang.

Ini kerana ramai keliru dengan tarikh kemasukan penggal baharu selain kemasukan pada Mac dilihat mengganggu kelancaran sistem persekolahan kerana ia bukan bermula pada awal tahun.

Selain itu, situasi Covid-19 yang menjadi antara punca sesi persekolahan dilewatkan sudah berubah apabila negara mema­suki fasa endemik 1 April lalu.

Mengulas lanjut, Jasni mengakui, perubahan takwim persekolahan seperti mana sebelum Covid-19 agak mencabar dan memerlukan pelbagai perbincangan dengan banyak pihak.

Beliau berkata, ini kerana ia perlu mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun kerana melibatkan bilangan hari persekolahan yang perlu cukup 192 hari.

“Kalau kita lihat, banyak kebaikan (sesi persekolahan bermula Mac) kerana SPM dapat dielakkan dalam banjir dan murid-murid dapat menjawab peperiksaan dengan selesa.

“Jika SPM dibuat pada Di­sember, agensi-agensi mengawal bencana akan bertungkus lumus membawa pelajar menjawab peperiksaan.

“Namun, perlu ada satu ketetapan daripada kementerian sekiranya mahu ubah kembali sesi persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, cadangan mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari boleh dilaksanakan de­ngan memendekkan cuti sekolah secara berperingkat bermula tahun depan hingga 2026.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu perlu diperhalusi termasuk mengambil kira kebajikan guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara.

“KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang di­terima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember kerana bertembung musim tengkujuh.

“Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×