Tukang tilik warga India tidak mengaku tipu lebih setengah juta ringgit - Utusan Malaysia

Tukang tilik warga India tidak mengaku tipu lebih setengah juta ringgit

WARGA India, N. Prakash, 24, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan menipu melibatkan kerugian lebih setengah juta ringgit. - PIX: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang tilik warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menipu seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

Tertuduh, N. Prakash, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu M. Punitha, 59, dengan memperdaya wanita itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mengubati penyakit dan menilik nasib hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 23 Mac hingga 18 Oktober lalu di No. 20 Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda di sini.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun selain disebat dan dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, R. Kumarappan.

Mahkamah dalam pada itu membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan manakala pasport miliknya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Pada masa sama, tertuduh diarahkan supaya melaporkan diri setiap Isnin, dua minggu sekali kepada pengawai penyiasat sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan tukang tilik terbabit telah diculik oleh sekumpulan individu kerana terlibat dengan unsur penipuan sebelum diselamatkan sepasukan anggota polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah pada 11 November lalu.

Ketika diselamatkan, lelaki tersebut dalam keadaan masih dirantai di bahagian kaki serta mengalami luka-luka ringan sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut polis, suspek yang menculik tukang tilik itu juga telah menghubungi keluarga lelaki terbabit dan meminta wang tebusan sebanyak RM700,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya