KULIM: Seorang penganggur dikenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini setelah mengaku bersalah menghina Islam dalam hantaran di media sosial, Januari lalu.
Tertuduh, Tsen Vui Kiong, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mahkamah turut menetapkan lelaki berasal dari Sandakan, Sabah itu dikenakan hukuman lapan bulan penjara, jika gagal membayar denda terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, dia melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Jimmy Tsen’ telah memuat naik satu hantaran pada 16 Januari lalu, yang kemudian dibaca oleh Khairull Fadzillah Bakar, 45, di Taman Selasih, di sini pada 6 Februari lalu.
Perkataan-perkataan dan gambar kartun dalam hantaran tersebut dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama pengadu.
Tertuduh telah melakukan kesalahan terbabit di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hairul Alif Hairul Azam.
Hairul Alif memohon mahkamah mengenakan hukuman denda paling ringan memandangkan tertuduh tidak bekerja dan masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua. Namun, Jayasri mencadangkan agar hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam terutama dalam penggunaan media sosial.
Beliau berhujah, hukuman tersebut akan menjadi mesej kepada masyarakat agar tiada sesiapa yang boleh menghina agama lain dan hukuman setimpal juga diperlukan agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu. – UTUSAN










