Perkosa anak tiri, jurukimpal dipenjara 33 tahun, 32 sebatan

Perkosa anak tiri, jurukimpal dipenjara 33 tahun, 32 sebatan

TERTUDUH dibawa polis menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang jurukimpal dihukum penjara 33 tahun dan 32 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam pertuduhan merogol dan satu mencederakan anak tirinya antara 2022 hingga 2026.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Zulkpli Abdullah selepas tertuduh berusia 40 tahun yang merupakan bapa tiri mangsa, mengaku bersalah atas enam pertuduhan rogol dan satu pertuduhan sengaja mencederakan remaja berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak tirinya berusia 14 tahun empat bulan dan 15 tahun tiga bulan ketika kejadian apabila perhubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini, kira-kira pukul 12 tengah malam pada Jun 2022 dan 1 pagi pada April 2023. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa sama apabila perhubungannya dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama. Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di lokasi sama kira-kira pukul 11 malam pada Mei 2025 dan antara pukul 3 petang hingga 11 malam pada 9 Januari hingga 23 April 2026.

Pendakwaan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama di lokasi sama kira-kira pukul 11 malam pada 25 April lalu. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon mah­ka­mah mengurangkan hukuman yang dikenakan kepadanya.

Bagaimanapun, Siti Aisyha Nai­lah menegaskan bahawa hukuman setimpal dan berat perlu dikenakan kepada tertuduh kerana ia kesalahan serius dan mang­sa dalam kes itu anak tirinya.

Katanya, kejadian tersebut meninggalkan kesan trauma kepada mangsa apabila dia takut untuk menceritakan kejadian itu sehingga mencecah usia 18 tahun.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan 32 sebatan untuk kesemua pertuduhan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 29 April lalu. Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di penjara dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×