Tubuh jawatankuasa khas siasat dakwaan kartel manipulasi bekalan telur ayam - Utusan Malaysia

Tubuh jawatankuasa khas siasat dakwaan kartel manipulasi bekalan telur ayam

CAP mencadangkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan kewujudan kartel yang menjadi punca bekalan telur dan ayam segar berkurangan di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan kewujudan kartel yang menjadi punca bekalan telur dan ayam segar berkurangan di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, dakwaan itu adalah satu perkara yang serius kerana ditimbulkan oleh beberapa individu yang terlibat dengan industri makanan.

“Ada pihak mendakwa kartel wujud dan mereka mendakwa kartel ini yang menyembelih ayam sebelum bertelur untuk memanipulasi harga.

“Dakwaan ini perlu segera disiasat, oleh itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara ini,” katanya di Pejabat CAP di sini hari ini.

Masalah ketiadaan bekalan telur ayam dan ayam segar terus membelenggu dan meresahkan rakyat hingga mencetuskan kebimbangan mereka berisiko berdepan krisis makanan jika tidak ditangani segera.

Ia dijangka bertambah meruncing apabila negara sedang memasuki musim tengkujuh yang dalam tempoh tersebut beban rakyat bakal ditambah dengan kenaikan harga ikan ekoran nelayan tidak boleh ke laut.

Menurut Mohideen, selain itu Malaysia juga tidak boleh menjadi terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari luar negara untuk menjamin keselamatan makanan di negara ini.

”Langkah mengimport telur ayam yang dicadangkan kerajaan bagi mengimbangi bekalan telur adalah baik, namun hanya penyelesaian jangka masa pendek.

”Apa akan jadi sekiranya negara luar tidak mahu menjual telur ayam kepada negara ini, sudah pasti masalah kekurangan bekalan telur akan terus membelenggu rakyat,” katanya.

Tambahnya, Malaysia perlu berdikari untuk menjadi negara pengeluar makanan bagi kegunaan rakyat memandangkan sumber dan tanah di negara ini berpotensi untuk diterokai.

”Masih belum terlambat untuk Malaysia menjadi negara pengeluar makanan dan Kerajaan Pusat perlu betulkan semula dasar-dasar negara ini yang berkaitan pertanian serta keselamatan makanan.

”Kita tidak boleh terlalu fokus menjadi negara industri dan bergantung kepada import makanan semata-mata untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan asas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya