PETALING JAYA: Harga telur ayam turun antara RM1 hingga RM3 sepapan ketika ini berikutan lebihan bekalan di pasaran.
Lebihan bekalan antara lain disebabkan permintaan yang rendah, sedangkan pengeluaran telur ayam kekal tinggi di ladang.
Menurut Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee, pembekal telur terpaksa menyerap kos pengeluaran susulan peningkatan harga dedak dan kos logistik.
Katanya, pembekal tidak mempunyai pilihan selain menanggung kos tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada realiti perniagaan.
Menurutnya, situasi tersebut antara faktor penyumbang harga telur ketika ini kekal rendah walaupun dunia berdepan ketidaktentuan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat.
“Walaupun krisis sedang berlaku, kesannya tidak seteruk krisis Russia-Ukraine pada 2022 yang mengganggu rantaian bekalan bijirin seperti jagung dan soya iaitu bahan utama dalam penghasilan dedak ayam.
“Ketika itu, gangguan bekalan menyebabkan kos dedak meningkat secara mendadak, sekali gus memberi tekanan besar kepada pengusaha ladang ayam dan harga telur di pasaran.
“Namun ketika ini, walaupun terdapat peningkatan kos, bekalan bahan mentah masih terkawal dan tidak menjejaskan pengeluaran secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Namun, Jeffrey berkata, kebarangkalian berlakunya lebihan bekalan ketika ini berkemungkinan berpunca daripada sikap pembeli yang lebih berhati-hati dalam berbelanja.
Katanya, masyarakat mungkin mula berjimat susulan krisis Asia Barat sehingga menyebabkan permintaan menurun dan seterusnya berlaku lebihan bekalan di pasaran.
“Walaupun rugi, pembekal terpaksa terus menjual telur walaupun pada harga di bawah kos pengeluaran.
“Jika mahu mengelakkan kerugian, pengeluaran perlu diselaraskan, namun ia bukan mudah kerana telur merupakan barangan mudah rosak dan perlu dijual segera,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Penternak Ayam Kebangsaan, Dr. Nasiman Sapari berkata, setakat ini penurunan harga akibat lebihan bekalan masih boleh ditampung.
Beliau berkata, pembekal juga dijangka dapat menyesuaikan tahap pengeluaran telur ayam mengikut permintaan semasa.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan yang lebih wajar adalah memastikan lebihan tersebut dapat dieksport supaya pendapatan negara dapat ditingkatkan.
“Sekiranya harga rendah ditetapkan oleh kerajaan, khususnya dalam keadaan kos makanan ayam meningkat akibat faktor seperti konflik atau sebab-sebab lain, maka subsidi wajar diberikan kepada penternak bagi menampung kos pengeluaran,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh mengesahkan terdapat lebihan bekalan telur ayam di pasaran ketika ini.
“Benar, terdapat lebihan bekalan telur ayam di pasaran ketika ini. Namun, seperti yang kita maklum, negara mengamalkan pasaran ekonomi terbuka di mana harga ditentukan oleh faktor bekalan dan permintaan,” katanya.
Sementara itu, beberapa peniaga di Pasar Chow Kit di ibu negara memaklumkan harga telur ayam menurun selain kurang mendapat permintaan sejak Aidilfitri lalu.
Pekerja di kedai telur Wah Sing, Ong Laifun, 60, berkata, telur gred A kini dijual pada harga RM11.99 berbanding RM12.30 sebelum ini, manakala telur gred B turun kepada RM8.99 daripada RM9.60.
“Bagi telur gred C pula, harga menurun kepada RM6.99 berbanding sekitar RM10 sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Marrcus, 40, berkata, stok telur di kedainya mencukupi, namun permintaan semakin berkurangan.
Menurutnya, mereka juga terpaksa menanggung kos pengangkutan pembekal dari Melaka bagi memastikan bekalan telur sampai ke kedainya.
“Telur di kedai kami mencukupi, tetapi pelanggan yang datang membeli tidak begitu ramai dan kami terpaksa membayar kos pengangkutan kepada pembekal.
“Sebelum harga minyak naik dan subsidi diesel dikurangkan, kami tidak perlu menanggung kos pengangkutan, namun kini terpaksa berbuat demikian bagi menampung peningkatan kos bahan api,” katanya. – UTUSAN










