Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas - Utusan Malaysia

Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas

KEADAAN kereta dinaiki lima remaja sehingga mengorbankan tiga daripada mereka selepas terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tiga remaja maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Muhammad Aiman Rusdi, 17, penumpang hadapan, Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, dan seorang penumpang belakang, Mohd. Iman Mohd. Akhir, 17.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Dua lagi rakan mereka, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kesemua remaja itu dalam perjalanan dari Bakar Arang menghala ke Padang Temusu sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi kiri jalan.

Katanya, kereta jenis Honda itu dipercayai dipandu laju dengan impak pelanggaran yang kuat menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta seorang daripada tiga penumpang belakang maut di lokasi kejadian.

“Mayat ketiga-tiga remaja itu kini telah dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi semua mangsa sudah tidak bersekolah dan kereta yang dipandu adalah milik abang kepada pemandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya