Tidak perlu aktifkan semula tiga pasukan khas polis - Musa Hassan

Tidak perlu aktifkan semula tiga pasukan khas polis – Musa Hassan

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan untuk mengaktifkan semula tiga Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibubarkan pada era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu, dianggap bukan satu keperluan untuk dilaksanakan kerajaan pada masa ini.

Tiga pasukan khas itu ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana katanya, setiap jabatan mempunyai bahagian perisikan dan operasi mereka sendiri di bawah PDRM.

Menurut beliau, pasukan elit dalam PDRM sudah mencukupi iaitu Unit Tindakhas (UTK) dan Pasukan 69 Komando (VAT 69) di bawah penyeliaan Ketua Polis Negara.

“Setiap jabatan seperti Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah memang sudah wujud bahagian risikan dan operasi mereka bagi menjalankan operasi-operasi terhadap sindiket yang menjalankan jenayah te­rancang.

“Jika mereka memerlukan bantuan dari unit elit seperti UTK atau VAT 69, ketua jabatan boleh memohon kepada Ketua Polis Negara untuk menggunakan unit elit ini membantu dalam menjalankan operasi bagi membanteras sindiket jenayah terancang,” katanya di sini semalam.

Musa berkata, unit elit berke­naan akan beroperasi dengan dipantau sendiri oleh Ketua Polis Negara.

Kata beliau, tindakan itu sekali gus dapat mengelakkan da­ripada penyelewengan yang bo­leh berlaku semasa operasi di­jalankan.

Semalam, Ahli Majlis Ekse­kutif Kebangsaan, Yayasan Pen­cegahan Jenayah Malaysia (MC­PF), Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir mencadangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta meng­aktifkan semula tiga pasukan khas itu yang dilihat berupaya menangani kegiatan jenayah terancang di negara ini.

Menurut beliau, pembubaran ketiga-tiga pasukan taktikal khas polis itu pada 2019 merupakan satu kesilapan besar selepas lima tahun ia ditubuhkan walaupun ia dianggap berlaku pertindihan fungsi jabatan-ja­batan PDRM yang sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN