Tidak berpindah jaga anak istimewa di rumah 

Tidak berpindah jaga anak istimewa di rumah 

AB. Rahman Kadir dan Kalsom Salleh terpaksa menjaga Norman Hakim yang mengidap Cerebral Palsy di rumah mereka di Kampung  Titian Baru, Kuala Terengganu, hari ini. - FOTO/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Bukan tidak mahu berpindah, tetapi anak istimewa kami yang mengidap Cerebral Palsy tidak boleh tinggal dalam persekitaran yang ramai orang,” itulah luahan, Ab. Rahman Kadir, 62.

Berikutan itu, Ab. Rahman dan isterinya, Kalsom Salleh, 57, dari Kampung Titian Baru di sini terpaksa mengambil risiko untuk tetap tinggal di dalam rumah meskipun bahagian dapur telah dinaiki air selepas hujan lebat sejak semalam.

Ab. Rahman berkata, dia dan isterinya pernah membawa Norman Hakim, 22, tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), namun terpaksa pulang kerana anak istimewa mereka tidak selesa berada di situ.

“Dia akan buat bising dan menjerit-jerit sebagai tanda tidak suka kerana terlalu ramai orang yang berpindah di PPS.

“Oleh itu, setiap kali banjir, kami suami isteri terpaksa tinggal di rumah ini menjaga Norman Hakim manakala lima anak yang lain akan berpindah ke PPS berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ab. Rahman memberitahu, masalah banjir di kampung itu berlaku disebabkan aliran longkang yang tidak sempurna dan berlarutan sejak 20 tahun yang lalu.

Menurutnya, hampir setiap tahun banjir akan berlaku dan mereka terpaksa mengambil risiko tinggal di rumah yang dilanda banjir untuk memastikan Norman Hakim selesa dan sentiasa berada di depan matanya.

“Susah juga nak berpindah ke PPS sebab kami tak ada kelengkapan yang sesuai untuk menjaganya di situ.

“Adik beradiknya yang lain akan bergilir balik ke rumah dari PPS untuk membantu menguruskan makan minum dan mandi Norman Hakim,” ujarnya. 

Bagaimanapun, menurutnya, mereka akan berpindah ke PPS sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

“Buat masa ini, ada lagi ruang yang tidak ditenggelami banjir, jadi kami duduk sahaja di situ. Seandainya semua dah tenggelam dan disuruh berpindah oleh pasukan penyelamat bila-bila masa, kami terpaksalah pergi juga ke PPS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya