SD Guthrie, MBI Selangor teroka pembangunan taman industri di Sepang

SD Guthrie, MBI Selangor teroka pembangunan taman industri di Sepang

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MBI Selangor dan SD Guthrie Berhad yang diwakili oleh Datuk Saipolyazan M. Yusop (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tanah dan Tenaga Boleh Ubah SD Guthrie Berhad, Renaka Ramachandran (dua kanan) di Courtyard by Marriott Setia Alam, Selangor. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: SD Guthrie Berhad menjalinkan kerjasama strategik dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) bagi meneroka cadangan pembangunan industri guna campur berskala besar di Ladang Sepang, Selangor, bersebelahan KLIA Aeropolis.

Pembangunan seluas 1,011.7 hektar itu dirancang sebagai taman perindustrian bersepadu yang merangkumi komponen komersial serta kawasan kediaman pelengkap, sejajar dengan usaha memperkukuh ekosistem pembangunan wilayah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, kerjasama ini mengukuhkan peranan MBI Selangor sebagai pemangkin pembangunan strategik berimpak tinggi.

“Pembangunan ini dibayangkan sebagai nod pertumbuhan strategik dalam Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) yang akan memperkukuh ekosistem penerbangan dan perindustrian negeri, di samping memanfaatkan kedudukan berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) serta infrastruktur sedia ada.

“Ia bukan sahaja membuka potensi kawasan ini, malah membentuk kluster industri masa hadapan yang mampu menarik pelaburan berkualiti serta menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum (MoU) di antara MBI Selangor dan SD Guthrie Berhad di sini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tanah dan Hartanah MBI Selangor, Mohd. Zapi Abdullah berkata, pembangunan itu dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM20 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi dan perindustrian di kawasan selatan Selangor.

Selain itu, projek tersebut terletak dalam koridor pembangunan lebih luas yang diterajui kerajaan negeri dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi jangka panjang, selaras dengan objektif Rancangan Selangor Pertama 2021–2025 (RS-1).

Selain itu, kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada Hab Koridor Infinity Sepang di bawah Rancangan Tempatan Sepang 2035.

Rangka kerja pembangunan ini dijangka menjadi asas kepada koridor pertumbuhan strategik di kawasan berpotensi tinggi tersebut, sekali gus menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh ekosistem logistik dan perindustrian negeri.

Pembangunan berkenaan akan menempatkan pelbagai infrastruktur industri meliputi sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan nilai tambah, selain disokong kemudahan perniagaan, pusat latihan dan fasiliti komuniti.

Sementara itu, Pengerusi SD Guthrie Berhad, Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan berimpak tinggi di Selangor dan negara.

Katanya, ini merupakan kerjasama kedua antara SD Guthrie dan MBI Selangor, susulan projek pembangunan bersepadu terdahulu di Pulau Carey.

“Kami menyasarkan penciptaan nilai jangka panjang melalui pembangunan tanah strategik serta pengelompokan industri bagi menyokong transformasi ekonomi negeri,” katanya.-UTUSAN

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin (kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MBI Selangor dan SD Guthrie Berhad yang diwakili oleh Datuk Saipolyazan M. Yusop (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tanah dan Tenaga Boleh Ubah SD Guthrie Berhad, Renaka Ramachandran (dua kanan) di Courtyard by Marriott Setia Alam, Selangor. UTUSAN/AFIQ RAZALI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN