PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mencatat kemenangan 5-4 ke atas Bayern Munich dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc des Princes, semalam.
Perlawanan penuh sensasi itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas gol dalam aksi yang dianggap antara paling dramatik dalam sejarah peringkat separuh akhir pertandingan tersebut.
Penyerang Bayern, Harry Kane terlebih dahulu meletakkan pelawat di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-17 selepas kekasaran dilakukan ke atas Luis Diaz.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila bintang sensasi PSG, Khvicha Kvaratskhelia menyamakan kedudukan sebelum Joao Neves menanduk masuk gol kedua tuan rumah.
Michael Olise kemudian memastikan Bayern kembali menyamakan kedudukan, namun PSG menutup separuh masa pertama dengan kelebihan 3-2 hasil sepakan penalti Ousmane Dembele.
Bersambung babak kedua, PSG terus menguasai permainan apabila Kvaratskhelia sekali lagi mencipta jaringan sebelum Dembele menambah gol kelima, sekali gus meletakkan tuan rumah selesa mendahului 5-2.
Bagaimanapun, Bayern enggan mengalah apabila Dayot Upamecano merapatkan jurang sebelum Diaz menjadikan kedudukan 5-4.
Keputusan itu menyaksikan PSG membawa kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Allianz Arena minggu depan.
Kapten PSG, Marquinhos berkata, perlawanan tersebut memberikan pengalaman luar biasa kepada semua pemain.
“Saya yakin peminat bola sepak menikmati aksi ini. Ia perlawanan yang kami impikan sejak kecil,” katanya.
Sementara itu, Kane percaya Bayern masih berpeluang untuk bangkit di laman sendiri.
“Kami akan terus berjuang. Kami masih berada dalam saingan,” katanya. – AFP










