Terdapat keraguan barang kes diserahkn Ebit Lew-saksi

Terdapat keraguan barang kes diserahkan Ebit Lew-saksi

SITI Nooraini Mohd. Sahid semasa menghadiri perbicaraan membabitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret, Tenom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Terdapat keraguan terhadap barang kes yang telah dikemukakan oleh Ebit Lew kepada pihak polis semasa rampasan awal dilakukan.

Itu keterangan saksi keempat, Asisten Superitendan Siti Nooraini Mohd. Sahid semasa pemeriksaan semula pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew,37, di Mahkamah Majistret hari ini.

Saksi memberitahu mahkamah, semasa rampasan telefon bimbit dilakukan daripada tertuduh, Ebit Lew pada 19 Ogos 2021, tiada sebarang telefon lain yang dikemukakan oleh Ebit ketika itu.

Namun, semalam berdasarkan bukti yang diserahkan kepada mahkamah terdapat sebuah telefon bimbit lain yang direkodkan sebagai bahan bukti dalam kes ini.

Malah katanya, semasa perbicaraan berlangsung, pegawai penyiasat polis memaklumkan terdapat maklumat baharu berkaitan analisis telefon bimbit milik pengadu dari syarikat LGMS.

Laporan analisis digital itu diperoleh dalam bentuk soft copy dari syarikat LGMS, iaitu penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional pada 30 November lalu.

Saksi memberitahu mahkamah, maklumat berkaitan analisis digital telefon bimbit milik pengadu dari LGMS antara bukti baharu yang diperoleh penyiasat dalam perbicaraan kes ini.

Menurut Siti Nooraini, pihaknya mengambil dokumen atau analisis digital telefon bimbit tersebut bagi tujuan analisa untuk membuat perbandingan dengan maklumat dan dokumen sedia ada dalam kes ini.

Terdahulu, menjawab pertanyaan peguam bela semasa pemeriksaan balas, beliau bersetuju bahawa siasatan mengenai maklumat atau bukti baharu dalam kes itu perlu bersifat adil kepada pihak pembelaan dan juga pendakwaan.

Siti Nooraini yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak D11, Bukit Aman itu bersetuju supaya telefon bimbit milik pengadu turut dirampas bagi siasatan lanjut.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Maka, beliau didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan kes dilakukan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Nur Masrin Amalia.

Sementara itu, Ebit diwakili peguam, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut. -UTUSAN

Ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya