Syarak benarkan kritik kerajaan tetapi jangan melampau - Nik Abduh - Utusan Malaysia

Syarak benarkan kritik kerajaan tetapi jangan melampau – Nik Abduh

pn
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau Nik Abduh menegaskan kritikan ke atas kerajaan dibenarkan oleh syarak tetapi tidak boleh melampaui batas.

Nik Abduh berkata, setiap kritikan yang diberikan perlu mempunyai batas serta tatasusila dan berlandaskan fakta.

“Mengkritik kerajaan secara lembut atau keras, kedua-duanya adalah dibenarkan oleh syarak dalam ruang dan sempadannya. Ia terikat pula dengan fakta dan akhlak,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Dalam pada itu anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu turut mengingatkan bahawa perkara-perkara negatif yang dibawa oleh sesuatu pihak semasa berkempen sepatutnya dijauhi dan tidak dibolehkan.

Katanya, walaupun boleh membawa banyak sokongan dan membuahkan kemenangan tetapi perkara negatif yang digunakan berkemungkinan akan memakan diri pembawa naratif itu sendiri suatu ketika nanti.

“Tohmahan, tuduhan, persepsi dan gelaran buruk yang direka-reka ke atas lawan, walaupun mudah membuahkan sokongan, undi bahkan kemenangan, hakikatnya ia petunjuk awal daripada Allah bahawa si penuduh itulah yang nantinya akan menelan ludahnya sendiri. Siapa menggali lubang, dia sendiri akan jatuh di lubang itu,” katanya.

Nik Mohamad Abduh turut menyatakan bahawa perkara sebegitu telah dilihat sejak sekian lama di dalam senario politik tempatan dan lebih banyak membawa keruntuhan daripada kebaikan.

“Kita sering menyaksikannya dalam politik negara kita sedari dulu hingga kini. Ia tanda tidak sihat. Parti mana yang berjaya menjauhinya, ia akan lebih kekal dan berjaya. Kewajiban umat adalah bersatu menjaga keharmonian negara. Tiada erti keharmonian jika agama Islam tidak dijaga dan dipertahankan. Ia retak menanti belah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya