Aliran modal keluar, pengukuh dolar dorong ringgit melemah - Utusan Malaysia

Aliran modal keluar, pengukuh dolar dorong ringgit melemah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aliran keluar berterusan pelabur asing di Bursa Malaysia mendorong kepada penyusutan ringgit, di samping pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pasaran saham tempatan yang masih lemah dan ketiadaan aliran masuk pelabur asing yang ketara membataskan pengukuhan ringgit.

Katanya, apabila pelabur asing kembali ke pasaran tempatan, permintaan terhadap ringgit akan meningkat dan ini boleh membantu mengukuhkan nilai mata wang tersebut.

“Sentimen pelabur global ketika ini lebih tertumpu kepada aset yang dianggap selamat susulan ketidaktentuan geopolitik dan prospek ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Keadaan itu menyebabkan pelabur antarabangsa lebih cenderung menyimpan pegangan dalam dolar AS berbanding menyalurkan dana ke pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada 5 petang semalam, mata wang tempatan ditutup pada 4.0620/4.0670 berbanding 4.0620/4.0680 pada sesi dagangan akhir pada Selasa.

Barjoyai berkata, pasaran saham global juga berdepan ketidaktentuan, sekali gus mendorong pelabur lebih cenderung mencari aset selamat berikutan jangkaan pasaran saham dunia akan terus berdepan tekanan.

Oleh itu, beliau berkata, pelaburan berpendapatan tetap seperti bon, sukuk dan sekuriti perbendaharaan menjadi pilihan yang lebih menarik.

“Selain faktor aliran modal, perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia turut mempengaruhi keputusan pelabur antarabangsa.

“Kadar faedah yang lebih tinggi di AS menjadikan negara itu destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan, sekali gus mengukuhkan dolar AS dan memberi tekanan kepada mata wang lain termasuk ringgit.

“Walaupun Malaysia masih mencatatkan kadar inflasi yang rendah berbanding banyak negara lain, faktor luaran seperti geopolitik, harga komoditi dan pergerakan modal global terus memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju ringgit,” jelasnya.

Tambahnya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan ringgit.

“Lazimnya, kadar faedah yang lebih tinggi digunakan untuk menyerap lebihan kecairan dalam pasaran dan membantu mengawal inflasi. BNM dilihat agak pasif dalam aspek ini.

“Jika berdepan tekanan inflasi, kebiasaannya OPR akan dinaikkan untuk mengurangkan kecairan dalam pasaran. Namun, kerajaan mungkin mempunyai pendekatan lain dan tidak mahu menambah tekanan kepada sektor perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN