Siapa akan tembak siapa?

Siapa akan tembak siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, suasana politik negara kembali meriah. Bukan meriah kerana rakyat terlalu teruja untuk mengundi tetapi kerana semakin ramai ahli politik yang mengasah peluru, mengilat senjata dan mencari sasaran.

Masalahnya kali ini, mereka sendiri tidak pasti siapa yang mahu ditembak.

Jika beberapa tahun lalu, politik Malaysia agak mudah difahami. Hari ini peta politik sudah menjadi seperti drama bersiri yang penulis skripnya pun hilang arah. Kawan menjadi lawan, lawan menjadi kawan dan ada yang sudah beberapa kali bertukar pasukan sehingga penyokong sendiri terpaksa menyemak semula gambar profil lama di media sosial.

Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi kerusi dalam Kerajaan Perpaduan. Dahulu mereka saling menyerang tanpa belas kasihan. Hari ini mereka berkongsi Kabinet, berkongsi pentas dan sesekali berkongsi pujian.

Ketika tempoh berkempen kedua-dua PRN kelak, bagaimana mereka akan saling menembak apabila di pe­ringkat Persekutuan mereka berteduh di bawah bumbung yang sama?
Politik memang mengajar bahawa tiada musuh yang kekal dan lebih penting, tiada rasa malu yang kekal.

Di pihak pembangkang pula, situasinya lebih menarik. Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang suatu ketika dahulu berarak seiring atas nama Perikatan Nasional (PN), kini sudah memilih haluan masing-masing. Hubu­ngan yang dulunya digambarkan kukuh, rupa-rupanya tidak cukup kuat untuk bertahan apabila kepentingan politik mula bercanggah.

Adakah Pas dan Bersatu akan terus menumpukan sera­ngan kepada kerajaan? Atau mereka akan mula membuka fail lama masing-masing dan menjadikan bekas rakan se­perjuangan sebagai sasaran baharu?

Secara logiknya, kedua-dua parti masih memerlukan musuh bersama. Dan seperti biasa, DAP sentiasa menjadi pilihan paling selamat.

Naratif bahawa DAP menguasai kerajaan dan menentukan segala-galanya dijangka terus dimainkan kerana ia masih mempunyai pasaran tertentu dalam kalangan pe­ngundi Melayu. Lagipun, naratif lama lebih ‘murah’ untuk digunakan berbanding menghasilkan idea baharu.

Namun, masalah Pas dan Bersatu sekarang bukan sekadar DAP.

Mereka sedang berebut kolam yang sama. Sasaran pe­ngundi mereka hampir serupa. Ceramah mereka banyak menyentuh isu yang sama. Kritikan mereka terhadap kerajaan juga hampir sama. Apabila dua pihak memancing di kolam yang sama, lambat laun mereka akan mula berebut umpan.

Pas mungkin akan cuba menunjukkan bahawa mereka lebih konsisten, lebih berprinsip dan mempunyai akar umbi yang lebih kuat. Bersatu pula mungkin akan mengingatkan bahawa tanpa mereka, Pas tidak akan sampai sejauh ini.

Tiada strategi kempen yang lebih murah daripada membiarkan musuh saling menyerang. Jika Pas dan Bersatu sibuk menjelaskan mengapa mereka berpisah, BN dan PH boleh terus bercakap mengenai kestabilan dan pentadbiran.

Satu perkara yang pasti, menjelang hari pengundian nanti peluru politik akan terbang ke mana-mana. Cuma beza­nya kali ini, sasaran tidak lagi begitu jelas.

Kadangkala yang paling kuat menembak bukanlah pihak paling tepat membidik dan yang paling banyak terkena peluru pula selalunya bukan musuh tetapi bekas kawan sendiri.

 

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan MalaysiaUTUSAN