Malaysia, Jepun meterai empat memorandum

Malaysia, Jepun meterai empat memorandum

ANWAR Ibrahim dan Sanae Takaichi berjabat tangan ketika mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Perdana Menteri Jepun itu di Tokyo, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Je­pun memeterai empat memo­ran­dum kerjasama (MoC) melibatkan sektor strategik sebagai­ langkah memperkukuh ke­siap­sediaan kedua-dua negara men­depani cabaran landskap geopolitik dan geoekonomi dunia.

Kerjasama berkenaan melibatkan bidang keselamatan ma­ritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan kawal selia peranti perubatan.

Malaysia-Jepun juga memperkukuh kerjasama strategik­ dalam sektor tenaga dan kewangan menerusi perjanjian pembekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang serta usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peme­teraian itu merupakan langkah penting dalam memperluaskan kerjasama sedia ada, dengan penekanan perlu diberikan kepada aspek pelaksanaan.

Katanya, semua persetujuan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

“Kita telah memeterai empat MoC yang telah diumumkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk memastikan kita melaksanakannya,” kata­nya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di Tokyo semalam.

Anwar dalam rangka lawatan ke Jepun bagi menyampaikan ucaptama pada Persida­ngan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertajuk `Mendepani Ketidaktentuan Strategik.’

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Malaysia dan Jepun bertukar dua surat hasrat (LOI) membabitkan kerjasama keselamatan dan peralihan tenaga, selain memperkukuh hubungan akademik menerusi kerjasama antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

ANWAR Ibrahim diiringi Johari Abdul Ghani (dua, kiri) dan Steven Sim Chee Keong (kiri) ketika mengadakan lawatan dan syarahan di Univeriti Tokyo, Jepun, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI

Anwar merakamkan penghargaan terhadap sokongan Jepun dalam pelbagai isu serantau termasuk ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN.

Katanya, kedua-dua pihak turut menyentuh perkemba­ngan terkini di Myanmar serta usaha berterusan untuk menggalakkan negara itu kembali memainkan peranan yang le­bih aktif dalam ASEAN.

“Malaysia akan terus be­kerjasama rapat dengan Jepun dalam menyokong usaha tersebut susulan beberapa perkembangan positif yang sedang berlaku di Myanmar.

“Malah, Malaysia turut menyokong visi Jepun mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka sebagai antara pendekatan penting bagi menjamin kestabilan serta kemakmuran rantau ini,” katanya.

Dalam ucaptamanya, Anwar berkata, negara berdaulat perlu lebih berani dan tegas dalam mempertahankan prinsip perdagangan bebas serta menolak pelaksanaan tarif bersifat punitif dan dasar diskriminasi.

Beliau juga menarik perhatian bahawa dunia memerlukan bentuk kerjasama global yang baharu bagi mendepani cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

Beliau turut mengingatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat dan berisiko menjadi alat penjajahan digital sekiranya tidak ditadbir secara adil dan inklusif.

Sementara itu, Malaysia dan Jepun turut memperluas kerjasama dalam sektor berteknologi tinggi termasuk bidang AI, pembangunan mineral kritikal dan industri automotif melibatkan kenderaan tenaga baharu.

Johari berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua halanya dengan Menteri Ekonomi, Perdaga­ngan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun.

“Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan usaha mempertingkatkan ker­jasama dalam aspek keselamatan te­naga di ASEAN, di samping bertukar pandangan mengenai pembangunan mineral kritikal, AI dan industri automotif khususnya berkaitan NEV,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN