Sri Ram kekal ketuai pendakwaan kes laporan audit 1MDB - Utusan Malaysia

Sri Ram kekal ketuai pendakwaan kes laporan audit 1MDB

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Gopal Sri Ram kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes tersebut yang masih di peringkat pendakwaan akan diputuskan pada 30 Januari ini sama ada Najib dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Konflik berhubung pelantikan Sri Ram selaku timbalan pendakwa raya kanan dimuktamadkan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini selepas menolak rayuan akhir bekas Perdana Menteri.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel bersidang ketika menyampaikan keputusan itu berkata, tiada bukti yang menunjukkan Sri Ram terlibat dalam siasatan kes-kes 1MDB.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim berpuas hati dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya.

Panel itu turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi terhadap fakta dan keadaan kes dan menerima afidavit Sri Ram berhubung isu bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Panel tersebut turut berpuas hati mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk menghalang atau menggugurkan kelayakan timbalan pendakwa raya atau peguam daripada bertindak di mahkamah.

Hakim Vernon berpendapat, pelantikan Sri Ram juga tidak dicemari dengan unsur berat sebelah dan konflik kepentingan berkaitan kunjungan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu ke rumah Mohamed Apandi serta dakwaan beberapa siri perbualan antara mereka.

Sehubungan itu, panel itu berpuas hati Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika menolak rayuan Najib.

“Panel ini tidak perlu campur tangan untuk mengubahnya,” jelas beliau.

Pada prosiding itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah mewakili Najib manakala Sri Ram berhujah bagi pihak pendakwaan.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 September 2021 yang menolak rayuannya untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes laporan audit 1MDB.

Hakim Datuk Yaacob Md. Sam yang mengetuai panel tersebut berkata, mahkamah berpandangan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan Najib.

“Kami dapati tiada merit dalam rayuan ini. Oleh itu, kami menolak rayuan ini dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi membabitkan antaranya, dana RM2.6 bilion milik 1MDB, meminda laporan audit 1MDB dan pecah amanah berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sri Ram yang juga seorang peguam, dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan pada Ogos 2018 untuk mengendalikan pendakwaan empat kes jenayah membabitkan Najib.

Najib memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram, disokong dua afidavit masing-masing daripada beliau dan Mohamed Apandi.

Mohamed Apandi berkata, Sri Ram memberitahunya yang pemimpin pembangkang ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkannya (Mohamed Apandi) menahan Najib atas kesalahan yang tidak dinyatakan pada Januari 2018.

Najib turut merujuk perbualan WhatsApp antara Sri Ram dan Mohamed Apandi yang didakwanya menunjukkan sikap berat sebelah berikutan penglibatan Sri Ram dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1MDB yang menyebabkan beliau membuat penilaian awal terhadapnya.

Najib, 69, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 46, sedang dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan atas tuduhan meminda dan bersubahat meminda laporan audit 1MDB.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan laporan audit akhir 1MDB, sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atasnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu untuk melindungi Najib dikenakan tindakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya