Siswa kolej antara empat dicekup edar dadah - Utusan Malaysia

Siswa kolej antara empat dicekup edar dadah

Polis dadah
ARJUNAIDI Mohamed (dua, kiri) bungkusan dadah yang menggunakan label teh cina di IPK Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang mahasiswa sebuah kolej swasta antara empat suspek ditahan polis dalam satu operasi rampasan dadah di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah terkemuka di Putrajaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan operasi tersebut selepas mengekori kesemua suspek sejak dari awal.

“Semasa serbuan, suspek dipercayai sedang melakukan urusan memindahkan dadah kepada pengedar lain, kira-kira pukul 1.40 petang.

“Mereka semua ditahan dan siasatan lanjut ke atas kenderaan yang mereka naiki iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, pihak polis menemui 320 bungkusan teh Cina yang disyaki berisi dadah jenis methamphine (syabu),” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau menambah, selepas membuat serbuan pertama, polis terus membuat serbuan kedua ke atas sebuah unit kondominium di Putrajaya dan berjaya merampas 23 bungkusan teh Cina yang dipercayai berisi dadah jenis syabu.

“Secara keseluruhan, kami berjaya merampas 373 bungkusan teh Cina dan satu bungkusan plastik lutsinar yang berisi syabu. Berat kesemua bahan rampasan adalah 378.4 kilogram yang bernilai RM13.26 juta,” jelasnya.

Menurut Arjunaidi, siswa terbabit bersama tiga suspek lain dipercayai merupakan sindiket penghantar dadah yang mengedar dadah di seluruh Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

Beliau berkata, hasil saringan ke atas kesemua suspek yang berusia 22 hingga 37 tahun ini mendapati dua daripada mereka positif dadah.

“Siasatan lanjut polis mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 394 dan 395 Kanun Keseksaan.

“Selain dadah, kami turut merampas beberapa aset (milik suspek) seperti dua buah kenderaan jenis Nissan Navara dan Honda CRV, sebuah jam tangan jenama Tissot dan wang bernilai RM10,004 di dalam satu akaun bank. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM240,504,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Arjunaidi lagi, kesemua suspek kini berada dalam tahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Disember ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya