Singapura ‘magnet’ tarik hartawan dan profesional China - Utusan Malaysia

Singapura ‘magnet’ tarik hartawan dan profesional China

SINGAPURA menarik minat ramai hartawan China yang melihat negara ini sebagai lokasi selamat menyimpan aset kewangan mereka.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura kini menjadi pilihan utama sebagai tempat tinggal kedua bagi ramai golongan hartawan dan profesional China yang ingin melarikan diri daripada masalah ekonomi dan Covid-19 di negara mereka.

Kelab-kelab VIP yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat China semakin berkembang pesat di seluruh bandar dan ramai pelajar asing China turut memilih untuk tinggal di Kota Singa itu selepas tamat pengajian.

Singapura bagaikan magnet yang menarik gelombang baharu pelaburan serta pendatang asing dengan pengalaman bekerja untuk syarikat pengurusan dana di China.

Selain mempunyai majoriti bangsa Cina sebagai kumpulan etnik terbesar dan penggunaan bahasa Mandarin secara meluas di negara ini, antara tarikan utama Singapura yang mendorong minat  warga China adalah penerbangan pulang yang agak singkat, tahap keselamatan serta cukai yang rendah.

Negara bandar ini juga mengekalkan hubungan rapat dengan Beijing, sambil mengelak untuk berpihak kepada mana-mana negara ketika ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat.

Menurut Laporan Warga Global Henley yang dikeluarkan pada bulan Jun lalu, Singapura juga merupakan salah satu daripada lima destinasi teratas untuk individu bernilai tinggi yang ingin berhijrah, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, Israel dan Switzerland.

Di Asia, Singapura semakin menarik minat ramai hartawan China yang melihat negara ini sebagai lokasi selamat menyimpan aset kewangan mereka dengan penghijrahan bersih 2,800 individu bernilai tinggi dijangka tahun ini.

Menurut Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), lebih 700 pejabat keluarga telah ditubuhkan di Singapura tahun lalu berbanding hanya 50 pada tahun 2018.

Pejabat keluarga merujuk kepada entiti undang-undang yang menjalankan pentadbiran dan pengurusan aset serta pelaburan individu atau keluarga yang mempunyai nilai bersih sangat tinggi untuk tujuan pemeliharaan modal, perancangan penggantian dan pengurusan pelaburan.

MAS meluluskan lebih 100 permohonan untuk menubuhkan pejabat keluarga tunggal dalam empat bulan pertama tahun ini dan lebih 600 lagi sedang menunggu kelulusan.

Lebih separuh daripada mereka adalah daripada keluarga kaya China, termasuk mereka yang telah menyimpan kekayaan di Hong Kong sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut pelabur hartanah dan saham Asean, Gao Zhendong yang berpangkalan di Beijing, di sebalik ‘magnet’ Singapura yang semakin meningkat, pendatang China masih perlu berdepan dengan pelbagai isu sebaik sahaja mereka tiba ke negara itu.

“Inflasi sudah jelas di sana, dan kenaikan kadar faedah AS menyedut kecairan pelabur global, dan Singapura serta pasaran Asia Tenggara yang lain tidak terkecuali.

“Selain itu, jika hubungan antara China dan AS terus merosot yang membawa kepada ketegangan geopolitik di rantau ini, jadi adalah sukar bagi Singapura untuk mempengaruhi satu arah atau yang lain,” jelasnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya