Lebih banyak filem tempatan cecah RM10 juta tahun ini - Utusan Malaysia

Lebih banyak filem tempatan cecah RM10 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPARUH tahun 2026 menunjukkan perkembangan baik untuk prestasi filem tempatan apabila lebih banyak naskhah berjaya memperoleh kutipan lebih RM10 juta berbanding tahun lalu.

Setakat tarikh artikel ini ditulis, lima filem tempatan berjaya mencatat rekod kutipan RM10 juta bermula dengan Ah Beng Vs Liang Po Po (10,039,829), Malaikat Malam (12, 225, 903), Libang Libu (14,152,229), Tarung: Unforgiven (23,396,515) dan Polong (15, 302,263). 

Bagaimanapun, menurut statistik yang disemak Utusan Malaysia menerusi Senarai Filem Cereka 2026 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), selain Libang Libu, Tarung: Unforgiven dan Polong, terdapat lima lagi filem tempatan masih ditayangkan di panggung membuatkan angka yang dikongsikan bakal meningkat malah tidak mustahil sekiranya lebih banyak filem diramal memasuki senarai kutipan lebih RM10 juta.

Prestasi lima filem dengan kutipan RM10 juta setakat enam bulan terawal tahun 2026 dilihat lebih baik berbanding rekod dua filem pada enam bulan terawal tahun 2025 yang dipegang Blood Brothers: Bara Naga (73,643,836) dan Ejen Ali The Movie 2 (58,403,481).

Setakat 27 filem tempatan yang ditayangkan di panggung tahun ini, dianggarkan telah berjaya menarik 5.3 juta penonton ke panggung dengan rekod penjualan tiket 96.8 ribu. 

Walaupun kualiti filem terbaik sepanjang tahun tidak diukur dengan jumlah kutipan, namun perkembangan ini penting menunjukkan tahap kepercayaan dan sokongan penonton semakin baik terhadap produk perfileman pembikin tempatan. 

Bukan bergantung populariti pelakon, bina momentum

Bedasarkan pemerhatian Utusan Malaysia terhadap sikap penonton sepanjang enam bulan terawal 2026, terdapat filem tempatan berjaya mencetuskan perhatian bedasarkan kepada ulasan media sosial sekali gus membina momentum untuk filem-filem selepasnya. 

Bermula dengan Libang Libu, kita mula mendapat momentum penonton ke panggung melihat topik perbincangan di media sosial diikuti Tarung: Unforgiven, Polong dan terkini Khadam walaupun belum ada sebarang rekod kutipan dikongsikan Finas untuk filem arahan Shamyl Othman itu. 

Menariknya, baik ulasan berbentuk tulisan atau video, rata-rata akan membahaskan mengenai jalan cerita filem tersebut diikuti kualiti lakonan berbanding populariti pelakonnya. 

Walaupun reaksi yang diberikan penonton adalah pelbagai untuk sesuatu filem, namun perkara ini setidaknya berjaya memicu rasa ingin tahu pengguna lain membuatkan mereka akhirnya ke panggung. 

Terdapat filem yang dibarisi pelakon popular malah turut melibatkan figura berpengaruh dari lapangan berbeza namun tidak berjaya memperoleh sambutan membanggakan.

Ini kerana filem yang baik perlu mempunyai komponen yang melengkapkan garapan sesebuah filem termasuklah skrip, cara bercerita dalam visual dan kualiti para pelakonnya.

Sekiranya skrip yang dihasilkan lemah, pelakon paling popular di atas dunia juga tidak mampu menyelamatkan sesebuah filem. Naskhah itu akan sepi, tenggelam dan gagal dibincangkan khalayak. 

Bagaimanapun, kami tidak menolak terdapat naskhah yang baik namun gagal bertemu khalayak atas faktor strategi promosi yang kurang berkesan.

Selepas Khadam, kita berharap momentum sokongan terhadap produk filem tempatan untuk 2026 akan terus berkembang dan bertahan sehingga penghujung tahun ini. 

Semoga lebih banyak filem tempatan akan menjadi bahan percakapan walaupun banyak judul filem antarabangsa bersaing mahu merebut perhatian di panggung yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN