LAPORAN Bank Dunia menunjukkan harga tenaga global meningkat dengan ketara sejak krisis Asia Barat, termasuk lonjakan harga minyak mentah yang pernah melepasi paras AS$100 (RM288) setong.
Di Malaysia, kesan rantaian daripada perkembangan ini turut dirasai apabila kos elektrik industri, bahan api logistik dan input pengeluaran meningkat secara berperingkat.
Keadaan ini memberi tekanan langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan negara.
Menurut SME Corp Malaysia, sektor PKS menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan jutaan peluang pekerjaan. Namun, peningkatan kos tenaga yang berterusan semakin menghakis margin keuntungan, khususnya dalam sektor pembuatan, makanan dan minuman serta logistik.
Walaupun peralihan tenaga penting bagi kelestarian jangka panjang, kesannya buat masa ini lebih dirasai oleh PKS yang masih bergantung kepada tenaga konvensional seperti elektrik grid dan bahan api fosil.
Cabaran menjadi lebih besar apabila sebahagian besar PKS masih beroperasi dengan tahap kecekapan tenaga yang rendah. Penggunaan mesin lama, sistem pengeluaran yang kurang automatik serta penggunaan teknologi penjimatan tenaga yang terhad menyebabkan penggunaan tenaga bagi setiap unit pengeluaran menjadi lebih tinggi. Akibatnya, apabila harga tenaga meningkat, PKS mempunyai ruang yang terhad untuk menyerap kenaikan kos tersebut.
Kesan krisis tenaga juga melangkaui bil elektrik dan bahan api. Peningkatan harga diesel misalnya menyebabkan kos logistik meningkat, sekali gus menambah kos penghantaran bahan mentah dan produk siap.
Dalam sektor makanan, kos pengangkutan dan penyimpanan sejuk yang lebih tinggi akhirnya memberi kesan kepada harga pengguna. Pada masa sama, PKS yang bergantung kepada bahan mentah import turut terkesan apabila kos pengeluaran di negara pengeksport meningkat akibat kenaikan harga tenaga global.
Dalam menghadapi cabaran ini, transformasi tenaga perlu menjadi agenda penting bagi sektor PKS. Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, sistem tenaga hibrid dan teknologi cekap tenaga perlu diperluaskan dengan sokongan yang lebih menyeluruh. Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, tahap penerimaan masih rendah akibat kekangan modal dan kekurangan pengetahuan teknikal.
Selain itu, digitalisasi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan tenaga. Teknologi seperti internet kebendaan (IoT), analitik data dan automasi pintar dapat membantu PKS memantau penggunaan tenaga secara lebih berkesan serta mengurangkan pembaziran.
Bagi memastikan perubahan ini berjaya, pendekatan bersepadu yang melibatkan aspek kewangan, teknologi dan latihan amat diperlukan. Institusi kewangan boleh menyediakan pembiayaan hijau yang lebih mudah diakses, manakala universiti dan institusi TVET boleh membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang tenaga dan digital.
Kerajaan pula memperkenalkan pelbagai dasar seperti Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Namun, pelaksanaannya di peringkat PKS masih memerlukan penambahbaikan dari segi kesedaran, akses dan keberkesanan.
Kerjasama antara agensi berkaitan juga penting bagi membantu PKS mengenal pasti peluang penjimatan tenaga serta memanfaatkan insentif yang tersedia.
Dengan transformasi yang menyeluruh merangkumi teknologi, kecekapan tenaga, sokongan dasar dan inovasi perniagaan, PKS Malaysia akan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi serta kekal berdaya saing dalam jangka panjang. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MD FAUZI AHMAD
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










