SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi antara fokus utama dalam sistem pendidikan negara apabila pelajar didedahkan dengan soalan yang memerlukan mereka berfikir secara kritis, kreatif, membuat analisis, menilai situasi dan menghasilkan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
Namun demikian, masih terdapat sebahagian masyarakat yang melihat KBAT hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata, sedangkan hakikatnya ia merupakan kemahiran yang lebih luas dan amat penting dalam dunia pekerjaan serta kehidupan seharian.
Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, majikan memerlukan individu yang mampu berfikir secara matang, membuat keputusan yang tepat, menyelesaikan masalah, berkomunikasi dengan baik serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Kesemua ciri ini sebenarnya terkandung dalam konsep KBAT. Justeru, penerapan KBAT di sekolah sebagai persediaan menghadapi realiti alam pekerjaan.
Di tempat kerja, pekerja sering berhadapan dengan situasi yang memerlukan pemikiran aras tinggi. Dalam sektor pendidikan, guru perlu mencari pendekatan terbaik untuk memastikan kefahaman murid.
Guru juga perlu menyelesaikan masalah disiplin, mengurus emosi pelajar serta menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut tahap kemampuan mereka. Semua ini memerlukan kebolehan menganalisis, menilai dan mencipta idea baharu.
Begitu juga dalam bidang perniagaan dan korporat. Pekerja yang hanya menunggu arahan tanpa mampu memberi idea atau menyelesaikan masalah sukar untuk berkembang. Majikan lebih menghargai pekerja yang berfikir di luar kebiasaan, mempunyai inisiatif serta membantu organisasi mencapai matlamat.
Dalam persekitaran yang kompetitif, keupayaan membuat analisis pasaran, memahami kehendak pelanggan dan merancang strategi amat diperlukan.
Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi turut menjadikan KBAT semakin penting. Banyak tugas rutin kini boleh digantikan oleh mesin, justeru manusia perlu memiliki kemahiran seperti kreativiti, empati, pertimbangan moral dan keupayaan membuat keputusan kompleks. Individu yang hanya bergantung kepada hafalan akan mudah ketinggalan.
Dalam sektor awam, KBAT membantu penjawat awam membuat keputusan yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat. Mereka sering berhadapan dengan isu dasar, pengurusan sumber dan aduan masyarakat yang memerlukan penilaian menyeluruh agar keputusan tidak memberi kesan negatif.
Selain itu, KBAT turut membentuk etika dan profesionalisme di tempat kerja. Pekerja perlu bijak menilai tindakan terutama ketika berhadapan dengan konflik kepentingan atau dilema moral. KBAT membantu seseorang membuat pertimbangan yang lebih rasional sebelum bertindak.
Hakikatnya, banyak masalah di tempat kerja berpunca daripada kelemahan berfikir secara kritis. Pekerja mudah mempercayai maklumat tanpa semakan atau gagal menyesuaikan diri dengan perubahan. Sebaliknya, pekerja yang menguasai KBAT lebih berhati-hati, profesional dan sentiasa menambah baik kerja mereka. –UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK DENGKIL










