Sidang DUN Perak: Dewan kecoh isu Abdul Hadi - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Dewan kecoh isu Abdul Hadi

MUHAMAD Arafat Varisai Mahamad (kanan) bertikam lidah dengan wakil rakyat pembangkang pada Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) dan beberapa ADUN pembangkang.

Kekecohan tercetus apabila Muhamad Arafat membangkitkan mengenai Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas, yang dikatakan tidak hadir ke Parlimen ketika sesi pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti.

Dakwaan Muhamad Arafat itu dibantah Muhammad Zulfadli Zainal (Pas-Slim) yang mempertikaikan data diperoleh ADUN Hulu Kinta berkaitan ketidakhadiran Abdul Hadi di Parlimen.

Muhammad Zulfadli berkata, hujah Muhamad Arafat sangat dangkal selain menyindir ADUN Hulu Kinta itu juga kerap tiada ketika sidang DUN Perak berlangsung.

“Saya tidak bersetuju (tuduhan) terhadap Marang, kita mahu tahu data dapat daripada mana yang menyatakan ponteng? Kalau kita tengok Hulu Kinta berapa kali tidak ada di dalam Dewan dan berapa kali juga keluar, jadi jangan mudah sebut (tuduh).

“YB (Yang Berhormat) pun bukan ada dalam Parlimen hingga mahu sebut tentang Marang,” katanya.

Muhamad Arafat kemudiannya menyindir ADUN Slim itu dengan meminta agar belajar cara untuk mencelah ketika perbahasan berlangsung.

“Slim kena belajar dulu sebelum nak mencelah. Slim tanya soalan dan data, saya sudah beri data dan mereka pusing pula tempat lain, buang masa saya sahaja,” kata Muhamad Arafat.

Mohd. Akmal Kamarudin (Pas-Selama) yang turut bangun dan mencelah meminta ADUN Hulu Kinta itu menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas puluhan tahun dalam kempennya menghentam BN.

“Rakyat pilih YB kerana percaya YB anti BN ketika itu, tetapi tiba-tiba berlaku seperti mana sekarang, jadi siapa yang gadaikan prinsip sebenarnya. Pembohong dan penipu, itu khianat kepada rakyat dan pengundi,” kata Mohd. Akmal.

Pertikaman lidah bertambah hangat apabila Muhamad Arafat membangkitkan usaha Perikatan Nasional (PN) mencuri wakil rakyat BN ketika proses membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walau ketika itu, RUU Lompat Parti telah diluluskan di peringkat Parlimen, masih ada agenda lompat parti dilakukan yang disifatkan melibatkan tawaran jawatan dan wang ringgit.

Keadaan itu menyebabkan ahli Dewan daripada blok pembangkang dan kerajaan saling bangun berbalas celahan.

Nadziruddin Mohamed Bandi (Bersatu-Changkat Jong) mengatakan ucapan itu sebagai satu tuduhan palsu dan tidak sepatutnya disampaikan dalam Dewan Negeri.

Beberapa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang juga bangun memberi respon antaranya Rahim Ismail (Pas-Changkat Jering), Mohd Fakhruddin Abd Aziz (Pas-Kamunting), Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning), Tiw Tiee Siang (DAP-Tronoh) dan Thulsi Manogaran DAP-Buntong).

Keadaan diredakan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang meminta Muhamad Arafat menghabiskan perbahasan kerana masa yang diperuntukkan telah tamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya