Sidang DUN Perak: Bukit Larut dibuka semula 2026 - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Bukit Larut dibuka semula 2026

LOH Sze Yee pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN KORPORAT SUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pusat peranginan Bukit Larut, Taiping bakal dibuka semula kepada pengunjung pada 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kawasan peranginan tersebut akan dibuka setelah semua kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf selesai dilakukan.

Katanya, ketika ini kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan berkenaan masih giat dilaksanakan.

“Bukit Larut hanya boleh dibuka semula setelah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan serta cerun bukit.

“Pembaikan baki kerja cerun runtuh akan dilaksanakan tahun hadapan di mana iklan tender akan dikeluarkan pada Januari depan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM8 juta.

“Projek dijangka siap pada 2025 dan jalan boleh dibuka semula kepada orang awam pada 2026,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ong Seng Guan (DAP-Pokok Assam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, status terkini Bukit Larut adalah masih ditutup untuk operasi jeep dan sewaan banglo tetapi bagi tujuan aktiviti riadah seperti mendaki, berjalan kaki dan joging, ia dibenarkan namun tertakluk kepada risiko sendiri.

Katanya, Bahagian Pengurusan Bukit Larut yang menguruskan kawasan itu di bawah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) tetap menjalankan tugasan rutin dari segi kebersihan dan penjagaan persekitaran.

“Namun, ia bergantung kepada JKR, sekiranya baik pulih jalan dan cerun tidak selesai, Bahagian Pengurusan Bukit Larut hanya boleh menjalankan tugasan rutin pentadbiran sahaja,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Berhanudin Ahmad (Pas-Manong) berhubung polisi dan kawalan kerajaan negeri terhadap pembukaan aktiviti rekreasi dan penginapan di bukit-bukit dan tanah tinggi milik persendirian, Sze Yee berkata, kebanyakan lokasi pelancongan itu berada di luar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebenarnya, polisi yang diguna pakai sekarang banyak berlaku atas timbang rasa kerajaan. Di Perak, banyak operator kawasan pelancongan boleh dikategorikan sebagai haram.

“Bagaimanapun, pihak PBT di bawah exco berkaitan bersama penasihat undang-undang dan pasukan terlibat telah mengusahakan satu enakmen yang bukan sahaja menjaga kawasan pelancongan dan riadah di kawasan hutan dan cerun malah di bandar.

“Enakmen yang menjaga kepentingan semua pihak termasuk pengusaha, pelawat dan pelancong itu diharap dapat dibentangkan pada sidang DUN akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.