Sidang DUN Perak: Abdul Aziz cabar Ketua Pembangkang - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Abdul Aziz cabar Ketua Pembangkang

ABDUL Aziz Bari (tengah) pada sidang akhbar semasa Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Ketua Pembangkang, Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) menegur Ketua Pembangkang DUN negeri yang baharu, Razman Zakaria (PN- Gunung Semanggol) kerana tidak memainkan peranan secara konstruktif pada Persidangan DUN Perak yang pertama diadakan selepas perubahan kerajaan negeri.

Abdul Aziz berkata, sebagai Ketua Pembangkang, Razman perlu memainkan peranan sepatutnya iaitu memperjuangkan nasib dan kehendak rakyat di dalam Dewan, bukannya membangkitkan tuduhan Pakatan Harapan (PH) parti politik yang memainkan sentimen perkauman.

Menurutnya, apatah lagi tuduhan itu tidak benar kerana PH tidak pernah memainkan sentimen sedemikian bahkan komited dengan politik inklusif, politik baharu yang tidak memainkan sentimen perkauman.

Katanya, apabila PH dituduh memainkan sentimen perkauman, beliau daripada pihak kerajaan mahukan penjelasan daripada Razman namun setakat ini tiada jawapan yang diberikan.

“Awal sangat (untuk mengulas prestasi Razman sebagai Ketua Pembangkang) kerana ini baru satu sidang. Saya ucapkan selamat berjayalah kepada beliau sebagai Ketua Pembangkang.

“Ketua Pembangkang mempunyai peranan, ada harga, ada nilai dia tapi tolonglah jangan main isu-isu macam ini (tuduhan PH bangkit sentimen perkauman), supaya Ketua Pembangkang itu lebih dihormati dan lebih berperanan dan memperjuangkan nasib dan kehendak rakyat, itu yang kita hendak.

“Sebab Ketua Pembangkang sudah diberikan kedudukan yang sewajarnya, ada pejabat, ada kereta dan semua ada. Jadi maknanya mainkanlah peranan secara yang konstruktif, yang baik dan kita alu-alukan.

“Apabila Ketua Pembangkang melihat sesuatu isu secara rasis, itu tidak rasional, itu saya fikir tidak wajarlah. Dan ketua pembangkang sebenarnya pun lebih dignify (memartabatkan), itulah sepatutnyalah,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Abdul Aziz juga mencabar Razman supaya mengulangi kenyataanya bahawa DAP dan PH adalah parti yang memainkan sentimen perkauman di luar sesi persidangan DUN.

“Saya ingin meminta penjelasan daripada beliau sebab kita tidak mahu kenyataan seperti itu diteruskan lagi dan jika beliau betul-betul menuduh kita dengan tuduhan itu, sila ulas di luar Persidangan DUN.

“Jadi selepas itu kita boleh ambil tindakan sejawarnya sama ada membuat laporan polis ataupun tindakan undang-undang menyaman beliau.

“Ini kerana menuduh PH satu gabungan yang rasis dan cuba memainkan politik perkauman adalah tuduhan yang tidak berlaku dan tidak wujud,” katanya.

Terdahulu, semasa Persidangan DUN, Razman mendakwa PH gabungan parti politik yang memainkan sentimen perkauman.

Ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2023 sebelum ini, Razman berkata, terdapat pihak yang meniup api perkauman dengan memberi tekanan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimana pun ketika Abdul Aziz bangun meminta penjelasan lanjut berkenaan kenyataan itu, Razman berkata, perkara itu boleh dilihat ketika PH memerintah selama 22 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya