Segerakan subsidi bersasar, salur menerusi kad elektronik - CAP - Utusan Malaysia

Segerakan subsidi bersasar, salur menerusi kad elektronik – CAP

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pusat mempercepatkan pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar termasuk bahan api bagi kumpulan rakyat bawah 40 (B40).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan mengguna pakai sistem kad subsidi elektronik bagi memberi subsidi bersasar itu bagi pembelian RON 95, gas memasak (LPG), minyak masak dan barangan harga terkawal lain.

Jelas beliau, kerajaan boleh mengkreditkan subsidi bulanan minimum secara tetap ke dalam kad subsidi elektronik kumpulan sasar yang boleh digunakan untuk membeli apa sahaja yang diputuskan untuk diberikan subsidi.

Tambahnya, kad subsidi elektronik itu mudah dilaksanakan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pangkalan data penerima B40 bagi pelbagai bentuk bantuan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) juga perlu mempunyai data mereka yang berada dalam kumpulan bawah M40.

“Mengeluarkan kad subsidi elektronik kepada golongan miskin dan kawalan harga makanan yang berkesan perlu menjadi keutamaan kerajaan ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat

“Untuk membuat pembelian melibatkan barangan harga terkawal itu, mereka yang layak hanya perlu menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan,”  katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohideen menyifatkan sistem subsidi secara menyeluruh seperti diamalkan ketika ini adalah cacat kerana memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin.

Ini kerana jelas beliau, kebanyakan kereta termasuk jenis mewah juga boleh menggunakan RON95 yang bermakna subsidi harga petrol diagihkan secara tidak sekata antara pelbagai kumpulan berpendapatan.

“Mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah mendapat faedah yang paling sedikit kerana lebih berkemungkinan kurang memiliki kenderaan dan kenderaan yang dimiliki pula dengan kapasiti enjin yang rendah.

“Lebih-lebih lagi, petrol bersubsidi juga terbuka kepada penyalahgunaan seperti penyeludupan diesel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya