PETALING JAYA: Kerajaan diminta melaksanakan penyelarasan diesel sama seperti program Budi Madani RON95 bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan bahan api sebanyak RM6.02 seliter.
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) justeru mencadangkan kuota 300 liter bagi penjualan diesel pada harga RM2.15 seliter kepada pengguna domestik sebagai langkah strategik bagi memastikan subsidi bahan api lebih bersasar.
Yang Dipertua DPPM Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim berkata, kenaikan diesel RM6.02 seliter memerlukan kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel berasaskan penggunaan liter, sepertimana dilaksanakan bagi petrol RON95.
Beliau berkata, kaedah sama seperti Budi Madani RON95 boleh diperluaskan kepada pengguna diesel dengan menggunakan kad pengenalan dan melibatkan had antara 200 hingga 300 liter dalam bentuk subsidi.
“Hampir 98 peratus kenderaan diesel di Malaysia kini menggunakan diesel Euro, sekali gus menunjukkan keperluan kepada satu mekanisme subsidi yang lebih menyeluruh dan bersasar.
“Kenderaan pacuan empat roda mampu mencapai sekitar 10 kilometer bagi setiap liter diesel, berbanding lori.
“Dengan kuota 300 liter, kenderaan itu boleh bergerak sejauh kira-kira 3,000 kilometer, manakala lori sekitar 1,500 kilometer,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme subsidi diesel yang lebih menyeluruh seperti pelaksanaan bagi petrol RON95.
“Sekiranya kerajaan memperkenalkan subsidi diesel seperti yang dilakukan pada RON95, harga kenaikan barang tidak akan naik dengan mendadak dan mengganggu sistem pelancongan
“Jika petrol RON95 diberikan kepada semua rakyat, kenapa tidak diesel juga dilaksanakan secara sama. Kita tidak boleh biarkan harga minyak RM6.02 selitier ini.
“Kadar yang sesuai untuk melaksanakan subsidi itu ialah 2.15 sen bagi diesel. Pendekatan ini mampu mengurangkan beban rakyat dan pada masa sama mengekang kenaikan harga barang,” katanya.
Tambah Muhd Yusrizal, subsidi diesel wajar diberikan berdasarkan individu dan penggunaan, bukan terhad kepada kategori tertentu sahaja, memandangkan penggunaannya turut melibatkan jentera pertanian dan perniagaan kecil.
Selain itu, beliau berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap harga makanan yang dijangka meningkat jika kos bahan api terus melonjak.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pemandu Lori dan Bas Malaysia, Hairi Md. Ali pula menyarankan subsidi diesel dengan had 300 liter.
Katanya, pengusaha industri, sektor pengangkutan seperti bas dan lori kini antara yang paling terkesan akibat kenaikan harga diesel, sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian ekonomi.
“Syarikat besar mungkin masih mampu bertahan, namun pemain kecil seperti pengusaha trak tunda, kontraktor kecil, pengusaha jentera seperti traktor dan pam besar, serta perusahaan logistik berskala kecil kini berdepan risiko untuk menghentikan operasi.
“Ramai yang tidak menerima subsidi, termasuk lori tipper dan pengusaha kecil lain. Kos operasi meningkat mendadak, contohnya kos bagi satu lori yang sebelum ini sekitar RM500 kini melonjak kepada RM700,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kos operasi keseluruhan dianggarkan meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus, termasuk kos penyelenggaraan seperti minyak hitam dan alat ganti yang turut mengalami kenaikan harga. – UTUSAN










