PETALING JAYA: Bil subsidi bahan api negara meningkat enam kali ganda daripada RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan susulan konflik Asia Barat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah menanganinya secara seimbang dengan melaksanakan penyelarasan sementara kuota Budi Madani RON95 (BUDI95).
Katanya, kerajaan Madani berpendirian jelas bahawa rakyat mesti dilindungi dengan meneruskan pemberian subsidi BUDI95 walaupun dunia sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga dunia supaya kos sara hidup rakyat tidak terjejas secara drastik.
“Dunia hari ini sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar. Lonjakan harga minyak mentah yang melepasi paras AS$100 setong memberikan kesan besar kepada banyak negara.
“Di Hong Kong, harga petrol mencecah sekitar RM14 seliter. Di Singapura pula, sekitar RM10 seliter. Inilah realiti sedang dihadapi dunia hari ini.
“Namun di Malaysia, kerajaan Madani bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil pendirian jelas, iaitu rakyat mesti dilindungi. Kerajaan memilih untuk terus menjadi perisai rakyat kerana memahami betapa perit jika beban itu dilepaskan ke bahu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, sebagai sebuah ‘keluarga besar’, negara perlu membuat pilihan bijak dengan tidak membiarkan RM4 bilion wang rakyat ‘terbakar’ di atas jalan raya setiap bulan.
Kata beliau, wang penjimatan subsidi itu amat diperlukan untuk membina lebih banyak sekolah, menaik taraf hospital dan memberi bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan.
“Bagi memastikan keseimbangan ini, kerajaan Madani menyelaraskan had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.
“Berita baiknya ialah majoriti rakyat tidak terkesan langsung dengan perubahan ini. Data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat Malaysia hanya menggunakan secara purata 100 liter petrol sebulan.
“Ini bermakna kehidupan harian majoriti besar rakyat (sembilan daripada 10 orang) akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan,” katanya.
Jelas beliau langkah penyelarasan had kelayakan kuota BUDI95 itu hanya bersifat sementara sehingga keadaan dunia kembali stabil.
Malah, katanya, golongan pemandu e-hailing tidak perlu risau kerana kuota mereka dikekalkan 800 liter sebulan demi kelangsungan rezeki mereka.
“Bagi 10 peratus pengguna yang mencatat penggunaan lebih 200 liter sebulan pula, mereka dinasihati melihat penyelarasan terbabit sebagai satu dorongan ke arah gaya hidup lebih lestari.
“Di saat negara sedang menguruskan kesan krisis global, golongan berpendapatan dan berbelanja lebih besar itu digalakkan berbelanja dengan lebih berhemah.
“Susun semula perjalanan anda, kurangkan pemanduan tidak perlu, amalkan perkongsian kereta atau gunakan kemudahan pengangkutan awam.
“Sedikit pengorbanan daripada kita semua, membawa penjimatan yang besar buat kelangsungan hidup rakyat yang lebih memerlukan. Kini, tiba masanya untuk kita semua memainkan peranan.Mari kita menjadi masyarakat lebih jimat cermat dan bijak menguruskan penggunaan petrol kita,” katanya.- UTUSAN











