Salahuddin aktif jual minyak wangi tampung kos rawatan

Salahuddin aktif jual minyak wangi tampung kos rawatan

SALAHUDDIN CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Bekas pemain kebangsaan, Salahuddin Che Rose, 53, hingga ke akhir hayatnya dikatakan masih ‘bergelut’ untuk meneruskan kehidupan.

Aktif menjual minyak wangi sejak beberapa bulan lalu dan wang hasil jualan barangan itu juga digunakan untuk menampung kos rawatan jantung yang dideritainya sejak 12 tahun lalu.

Menurut anak saudaranya, Manzoor Azwira Abdul Wahid, 46, Salahuddin sejak beberapa bulan lalu juga telah berpindah ke Kuala Lumpur dan dipercayai tinggal bersama rakannya di sana.

“Saya juga sudah lama tidak berjumpa dengan beliau sebelum mendapat berita ini (Salahuddin meninggal dunia). Kali terakhir mungkin beberapa bulan lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Manzoor Azwira yang juga pengendali skuad Harimau Kumbang ketika ini berkata, arwah yang juga anak bongsu daripada empat beradik sangat rapat dengan ibunya, Siti Rodziah Che Ros yang juga kakak sulung beliau.

Justeru katanya, tidak hairanlah sekiranya Salahuddin yang juga bekas pemain Pulau Pinang dan Pahang itu boleh tinggal dengan ibunya di Bukit Mertajam di sini untuk tempoh yang agak lama.

Difahamkan, Salahuddin meninggal dunia pagi semalam akibat masalah kesihatan selepas menderita akibat penyakit jantung sejak lebih sedekad yang lalu.

Nama pemain pertahanan kental itu pernah menjadi tular kira-kira empat tahun selepas beliau dilaporkan terpaksa menjalani hidup sebagai gelanda­ngan sementara menunggu pembedahan jantungnya ketika itu.

Kisah bekas pemain Pulau Pinang dan Pahang yang terkenal dengan nama julukan ‘orang besi’ itu juga pernah disiarkan oleh Utusan Malaysia kira-kira dua tahun kemudian selepas beliau mendakwa hilang punca pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Meskipun menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) ketika itu, ia tidak cukup untuk menampung kos rawatan bekas pemain bola sepak berkenaan.

Salahuddin ketika itu turut memohon bantuan untuk mendapatkan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana pernah ber­khidmat sebagai kakitangan bank ketika era semi-pro semasa awal 90-an dahulu.

Dalam pada itu, anak perempuan Allahyarham, Farah Nadirah Salahuddin, 28, memohon agar semua pihak mendoakan kesejahteraan roh bapanya.

“Farah okey, cuma terkejut sebab papa (bapa) dah tak ada. Doakan Farah kuat sebab Farah paling rapat dengan papa,” kata anak sulung itu.

Jenazah Salahuddin dikebumikan di tanah perkuburan Islam di USJ22 Su­bang Jaya, Selangor petang semalam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.