IVF serendah RM5,680 bantu golongan kurang berkemampuan memiliki zuriat

IVF serendah RM5,680 bantu golongan kurang berkemampuan memiliki zuriat

DR. Ab. Rahman Izaini Ghani (kanan) menyempurnakan gimik perasmian penjenamaan semula Perkhidmatan Infertiliti HPUSM di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kadar rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) serendah RM5,680 yang ditawarkan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), dekat sini membuka peluang lebih luas kepada pasangan kurang berkemampuan untuk memiliki zuriat.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani @ Ab. Ghani berkata, walaupun tidak termasuk penginapan dan ubat-ubatan, jumlah itu masih dianggap antara paling rendah di Malaysia ketika ini.

Katanya, ia sekali gus membuktikan rawatan kesuburan kini tidak lagi eksklusif untuk golongan berada.

“Saya nasihatkan pesakit menyediakan RM10,000 bagi menjalani rawatan infertili walaupun dalam kebanyakan kes perbelanjaan dikeluarkan tidak mencecah amaun tersebut.

“Sejak lima tahun lalu, HPUSM telah menerima lebih 200 hingga lebih 400 pesakit infertiliti dan sebenarnya kami bersedia menerima lebih dari jumlah itu,” katanya i selepas Majlis Penjenamaan Semula Perkhidmatan Infertiliti HPUSM, di sini hari ini.

Dr. Ab. Rahman berharap penjenamaan semula perkhidmatan itu mendapat perhatian daripada seluruh rakyat terutama di Kelantan dan wilayah Pantai Timur.

Katanya, HPUSM percaya faedah kesihatan itu melangkaui kehidupan semua pihak tanpa mengira golongan berada atau sebaliknya.

“Kami faham, 15 tahun hingga 20 tahun dahulu perkhidmatan rawatan kesuburan ini disifatkan sebagai premium atau untuk golongan kayangan sahaja, tetapi kami tidak mahu berterusan begitu kerana moto kami adalah ‘kualitinya kayangan, harganya marhaen’.

“Maksudnya semua orang berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan ini dan sudah menjadi cita-cita HPUSM sendiri untuk menyediakan perkhidmatan perubatan paling berpatutan di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN